Loading...
TR

3 beradik ditemui dalam keadaan lemah, 2 daripadanya (OKU) dirantai di kaki



Tiga beradik lelaki dipercayai mangsa dera ditemukan penduduk kampung dalam keadaan lemah dengan dua daripada mereka kaki masih berantai di tepi sebuah titi, di Jalan Kampung Tambun Tulang, Simpang Empat di Kangar semalam.


Ketua Polis Daerah Kangar, ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata seorang lelaki yang menemukan mangsa berusia 13 hingga 16 tahun itu telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.


“Dua daripada remaja tersebut merupakan orang kurang upaya (OKU) yang memiliki kad OKU masalah pendengaran dan pembelajaran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.


Beliau berkata tiga beradik itu dipercayai telah dikurung dan dirantai di dalam rumah oleh ibu mereka yang tidak tinggal bersama.


“Mereka telah melarikan diri dari rumah dipercayai kerana tidak tahan didera. Lain-lain maklumat belum diperoleh kerana mangsa enggan bercakap,” katanya.


Yusharifuddin berkata ketiga-tiga remaja itu sedang menjalani pemeriksaan dan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) serta dilaporkan stabil.


Menurutnya polis telah menahan seorang wanita berusia 46 tahun dipercayai ibu mangsa dan seorang lelaki berusia 31 tahun bagi membantu siasatan.


Beliau berkata kedua-dua suspek tersebut direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.


Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pihaknya sedang menunggu laporan lengkap mengenai insiden tiga beradik berkenaan sebelum mengambil tindakan lanjut. 


"Kita tengah periksa keadaan mereka dan pada ketika ini (usaha membantu) di bawah kementerian lain dulu yang menyelamatkan mereka. 


"Bagi pihak kita, KPM akan semak status pendidikan sama ada mereka bersekolah atau tidak, yang apabila kita lihat pada masa ini keadaan mereka nampak tidak begitu baik," katanya. 


Sumber: Bernama, Harian Metro

About Cite Malaya

Powered by Blogger.