Seorang wanita warga emas berusia 55 tahun dilaporkan melecur 60 peratus letupan tong gas memasak yang mengalami kebocoran di kediamannya.
Lapor Harian Metro, kejadian itu berlaku di rumah mangsa yang berada di tingkat enam, Flat Taman Sri Bayu, Jalan Kampung Bukit, Pulau Pinang.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau, Zaiful Arif Mat Ariffin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.18 pagi dan mengerahkan pasukannya ke lokasi serta-merta.
"Ketika tiba di lokasi, didapati berlaku letupan akibat kebocoran gas di unit rumah berkenaan. Terdapat penghuni iaiatu wanita berusia 55 tahun dan mangsa didapati melecur sehingga 60 peratus pada bahagian muka dan badannya," katanya.
Difahamkan, orang awam terlebih dahulu membantu mangsa memadamkan api sebelum ketibaan anggota bomba dan penyelamat.
Siasatan awal mendapati, mangsa berasal dari Gerik, Perak dan bekerja sebagai pengawal keselamatan. Pada hari kejadian, mangsa sedang bercuti.
Semasa berada di dapur, mangsa telah menyalakan dapur gas tanpa menyedari tong gas memasak mengalami kebocoran.
Mangsa telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan.
Sumber: Harian Metro