Tular di media sosial video menunjukkan sebuah kereta jenis BMW yang dinaiki dua lelaki bertindak menghalang pemandu bas daripada meneruskan perjalanan.
Menurut sumber, kejadian itu dikatakan berlaku di Kulai, Johor baru-baru ini dan punca sebenar kejadian masih belum diketahui.
Namun berdasarkan video tular berdurasi 1 minit 19 saat itu, kereta BMW berkenaan bertindak memotong bas tersebut dan salah seorang daripada suspek menjerit ke arah pemandu bas sebelum berhenti di hadapannya.
Suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol kemudian keluar dari kereta sambil memegang satu tin arak. Pemandu BMW turut keluar dan kedua-duanya dilihat tidak berpuas hati dengan pemandu bas dan memintanya keluar untuk 'berbincang'.
Tetapi permintaan mereka itu tidak diendahkan oleh pemandu bas yang bimbang akan keselamatan dirinya. Dalam masa yang sama, pemandu bas turut melemparkan kata-kata yang berbaur perkauman.
Situasi itu berlarutan selama beberapa minit sebelum bas berkenaan meneruskan perjalanan.
Undang-undang di Malaysia menetapkan, mana-mana individu yang didapati melakukan perbuatan membuli pengguna lain di jalan raya adalah merupakan satu kesalahan yang boleh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan bersalah, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sumber: Telegram Info Semasa Official