Loading...
TR

'Nafkah RM6,000 sebulan yang diberi tak cukup, saya terpaksa kerja sambilan' - Emilia Hanafi



Emilia Hanafi, bekas isteri kepada Datuk SM Faisal SM Nasimuddin, memberitahu Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam bahawa dia terpaksa bekerja secara sambilan menjual kerepek, roti jala, pulut kuning, rendang daging, jeli dan kek untuk menampung keperluan dia dan anak-anak.


Ini kerana katanya, wang nafkah berjumlah RM6,000 yang diberikan bekas suaminya itu secara bulanan adalah tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaannya bersama dengan tiga anak mereka.


"Saya tanggung anak-anak daripada segi sara hidup. Nafkah diberi tidak cukup dan anak tidak disediakan tempat tinggal. Saya terpaksa kerja sambilan dan uruskan anak seperti hantar dan ambil mereka dari sekolah. 


"Buat masa ini, saya dan anak-anak menumpang di rumah ibu bapa. Saya ibu tunggal kepada tiga anak lelaki berusia 10, 12 dan 17 tahun. 


"Anak sulung baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Am Antarabangsa untuk Pendidikan Menengah (IGCSE). Anak kedua belajar di Tahun Lapan di sekolah menengah swasta antarabangsa di ibu negara, manakala anak bongsu pada Tahun Enam di sekolah sama," katanya.


Perbicaraan akan disambung semula pada 28 Februari ini. 


SM Faisal, 43, didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas bekas isterinya dalam kejadian di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas di Brickfields pada 22 November 2015.


Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun saman yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Sumber: Harian Metro

About Cite Malaya

Powered by Blogger.