Loading...
TR

Bengang tak dijemput ke majlis serah projek Hospital Pendang, pemimpin PAS selar Menteri KKM sebagai tak berakhlak



Dalam sidang Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen Pendang menyifatkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa sebagai tidak beradab dan tidak berakhlak kerana telah melanggar masuk ke kawasannya. 


Awang Hashim (PN-Pendang) meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap Dr Zaliha yang turun ke Hospital Pendang tanpa memaklumkan kepadanya atau kerajaan negeri Kedah. 


Ini kerana baginya, Dr Zaliha perlu menghormatinya sebagai Ahli Parlimen Pendang yang telah diundi oleh rakyat pada PRU15. 


"Saya bukanlah nak bermegah, lebih 75 peratus daripada keseluruhan pengundi di Parlimen Pendang telah mengundi saya dengan majoriti hampir 32,000 undi. 


"Jadi saya fikir Menteri Kesihatan kena ambil perhatian sikit bila turun ke Hospital Pendang, jangan dok langgar tak ketahuan hala sangat. Saya tahu arahan daripada 'jeneral maulud Putrajaya' menyebabkan Menteri Kesihatan yang tak beradab ini turun tanpa memberitahu. Tak ada akhlak," katanya. 


Kenyataan Awang itu menimbulkan ketidakpuasan hati Ahli Parimen kerajaan dan menggesanya menarik balik kenyataan itu. Malangnya, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu membantah dan baginya kenyataan 'tiada akhlak' itu tidak melanggar peraturan mesyuarat Dewan Rakyat. 


16 Januari lalu, Awang meluahkan rasa kesalnya apabila kerajaan negeri Kedah tidak dijemput ke Majlis Penyerahan Projek Hospital Pendang yang dihadiri oleh Dr Zaliha pada 12 Januari. 


Menurut Awang, dia bersama dengan Menteri Besar Kedah dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri sepatutnya dijemput menghadiri program itu. Tetapi tiada sebarang jemputan yang diterimanya. 


Sumber: Berita Harian

About Cite Malaya

Powered by Blogger.