Perkataan 'keling' kebiasaannya merujuk kepada masyarakat India sejak dari dulu lagi. Namun penggunaan perkataan itu pada masa ini tidak lagi bersesuaian dan dianggap tidak hormat dan ada yang menyamakan istilah itu seperti nigger untuk masyarakat kulit hitam di Amerika.
Pernah sekali bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan perkataan tersebut yang mengundang kecaman banyak pihak. Akibatnya, beliau terpaksa memohon maaf dan menjelaskan dia tidak bermaksud untuk menghina sesiapa.
Sabtu lalu, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menyampaikan lagu klasik Tamil berjudul 'Munbe Vaa' pada konsert AR Rahman di Stadium Nasional Bukit Jalil yang berjaya memukau 60,000 penonton yang hadir sehingga diberi standing ovation sebagai tanda hormat.
Malangnya sebelum persembahan itu, seorang penonton wanita memuat naik video pada konsert berkenaan dengan kapsyen yang mengundang kecaman netizen.
"Pening dengar lagu keling. Nok lagu nustey (hindustan) please.. Waiting for Tokti (Siti Nurhaliza) ni.." tulisnya.
Wow. The audacity. Seriously girl? pic.twitter.com/YiIhLT4GSI
— Kesavan Vekraman (@Kesavan49) January 29, 2023
Akibatnya, ramai netizen mengecam tindakannya menggunakan perkataan tersebut yang bukan sahaja boleh menyinggung perasaan kaum India, malah boleh menyebabkan berlakunya masalah ketegangan kaum.
"Siti Nurhaliza berusaha untuk mempertahankan perpaduan di kalangan kita dengan mempersembahkan lagu Tamil. Datang pula perempuan ini yang cuba merosakkannya. Betul ke dia ni peminat Siti Nurhaliza?" kata Kesavan.
"DS Siti collab dengan AR Rahman supaya orang sedar bahawa tiada jurang kaum. Penat je Tokti hafal lagu yang bukan bahasa dia. Tetapi orang macam ni masih duduk di bawah tempurung," kata Jones.
Menyedari ramai yang mengecamnya, wanita berkenaan tampil memohon maaf dan memberi penjelasan mengenai apa sebenarnya yang berlaku.
"Ianya adalah dari kesilapan dan kekurangan serta kekhilafan saya sendiri kerana tidak peka dan teliti dengan perkataan terbabit.
"Tiada niat walau sebesar zarah untuk menghina mana-mana pihak terutama dari kawan-kawan berbangsa India. Mungkin kerana terlalu teruja kerana itulah kali pertama sis hadir dalam sebuah konsert gergasi. Kadang-kadang bila perasaan menguasai diri, terus lupa akal yang sepatutnya mengawal kata-kata dan tulisan.
"Sekali lagi saya memohon maaf pada seluruh kawan-kawan berbangsa India," katanya dalam kenyataan permohonan maaf yang dimuat naik di Instagram Story.
Sumber: Twitter Kesavan