Dua pemilik Crackhouse Comedy Club di Kuala Lumpur dilaporkan telah membuat permohonan kepada mahkamah sivil untuk membatalkan larangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap mereka daripada mendaftar sebarang lesen perniagaan di ibu kota dan mengembalikan semula lesen perniagaan mereka.
Mohamad Rizal Johan Van Geyzel dan Shankar R Santhiram tampil berbuat demikian selepas kelab komedinya dilanda kontroversi pada pertengahan tahun 2022 ekoran persembahan melampau dari Siti Nuramira Abdullah dan teman lelakinya, Alexander Navin Vijayachandran yang kini berdepan dengan pertuduhan di mahkamah.
Difahamkan, permohonan kebenaran semakan kehakiman itu telah difailkan pada November lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
30 Julai 2022, lesen perniagaan kelab komedi itu telah dibatalkan dan Rizal telah disenaraihitamkan secara kekal dari memohon sebarang lesen perniagaan.
Dalam permohonan semakan kehakiman itu, kedua-dua mereka mendakwa tindakan yang dikenakan ke atas mereka adalah bertentangan dengan undang-undang, tidak munasabah, tidak waras, tidak sahih, tidak berpelembagaan dan tidak mempunyai sebarang kesan.
Mereka turut menuntut gantirugi teladan dan gantirugi teruk daripada lima responden iaitu, DKBL, Mahadi (Datuk Bandar Kuala Lumpur), Jalaluddin (Timbalan Menteri Wilayah ketika itu), Kementerian Wilayah Persekutuan dan kerajaan.
Rizal mendakwa, responden tidak mempunyai asas di sebalik keputusan yang didakwanya tidak adil dan tidak seimbang dengan tujuan keputusan tersebut. Malah dia dan Shankar tidak diberi peluang untuk mendengar sebelum keputusan itu dibuat.
Selain itu, Rizal sebagai pencari nafkah tunggal dalam keluarganya berkata, keputusan itu telah menyebabkan kehidupan keluarganya terjejas teruk.
"...keputusan-keputusan tersebu akan juga menjejaskan kepentingan saya (dan pemohon kedua) dan/atau menyebabkan kesukaran yang tidak wajar kepada saya (dan pemohon kedua) dari segi kos perjalanan/perbelanjaan memandangkan saya (dan pemohon kedua) terpaksa pergi ke bandar selain Kuala Lumpur untuk menjalankan apa-apa aktiviti perniagaan yang sah dan berlesen.
Sementara itu, Shankar turut menyokong alasan sama yang dikemukakan Rizal.
Permohonan kebenaran semakan kehakiman itu dijangka dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Januari ini.
Sumber: MalaysiaKini