Loading...
TR

Orang kurang siuman mengamuk, sempat tendang tukang masak pusat tahfiz sebelum maut dipukul sekumpulan lelaki



Seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah mental dilaporkan maut dipukul sekumpulan lelaki dalam kejadian di Masjid Tok Guru Pulau Melaka, Kota Bharu, pada jam 7 malam tadi.


Lapor Harian Metro, lelaki berusia 20-an itu terdahulu dikatakan mengamuk di masjid berkenaan sebelum bertindak menendang seorang wanita berusia 50-an yang lalu di perkarangan masjid tersebut. 


Menurut seorang saksi yang dikenali sebagai Azam berkata, mangsa pada awalnya dilihat mengamuk di seketiar surau Pasar Kota Jembal, ketika waktu Zohor sebelum datang ke masjid berkenaan.


"Mangsa dilihat mengamuk beberapa jam sebelum kejadian berlaku, namun tiada yang membuat laporan polis kerana tidak menyangka dia akan mencederakan orang awam," katanya.  


Mangsa sempat menunaikan solat Asar bersendirian sebelum keluar dan tiba-tiba menendang wanita yang juga tukang masak sebuah sekolah tahfiz berdekatan. 


Sekumpulan lelaki yang ternampak kejadian itu segera datang membantu dan berlaku pergelutan menyebabkan mangsa dipukul sehingga tidak sedarkan diri. 


Ekoran kejadian itu, sekumpulan lelaki berkenaan telah ditahan polis untuk membantu siasatan. 


Azam juga mendapat maklumat dari saksi lain bahawa mangsa berasal dari Pasir Puteh, menunaikan solat Asar dalam keadaan menangis sebelum mengamuk secara tiba-tiba di perkarangan masjid. 


"Mangsa baru kali pertama dilihat berada di kawasan ini dna tidak dikenali oleh jemaah atau penduduk setempat. Dia juga berpakaian seperti orang biasa, namun perlakuannya yang menjerit dan menengking orang ramai menunjukkannya mempunyai masalah mental," katanya. 


Sementara itu, wanita yang dipukul oleh mangsa, Wan Fadhilah Wan Abdullah berkata, dia bernasib baik kerana ada yang datang membantu. Jika tidak, dia berkemungkin sudah mati ditendang dan disepak oleh lelaki terbabit. 


Menurut Wan Fadhilah, dia yang menunggang motosikal untuk pulang selepas selesai memasak di kantin sebuah tahfiz berdekata, terkejut apabila didatangi oleh lelaki terbabit yang kemudian menendangnya sehingga terjatuh dari motosikal. 


"Badan dan kepala saya disepak bertubi-tubi sebelum saya diselamatkan oleh anak-anak tahfiz yang berada di lokasi kejadian. Saya hanya terbaring lemah. 


"Awalnya saya ingatkan dia salah seorang pelajar tahfiz yang sedang berlatih silat kerana dia dilihat melakukan beberapa pergerakan seolah-olah seni mempertahankan diri. 


"Semasa saya bersiap sedia menaiki motosikal, ada anak tahfiz yang menjerit supaya saya menjauhkan diri kerana terdapat orang kurang siuman. Namun belum sempat saya beredar, saya sudah diserang," katanya. 


Akibat dari kejadian itu, Wan Fadhilah mengalami sakit di seluruh badan dan kesan lebam di beberapa bahagian. Wan Fadhilah tidak menyangka akan menjadi mangsa orang kurang siuman dan bersyukur sempat diselamatkan oleh anak-anak tahfiz. 


Sumber: Harian Metro


About Cite Malaya

Powered by Blogger.