Hasrat bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin untuk bertanding jawatan Presiden UMNO pada kali ini terpaksa dilupakan apabila Perwakilan UMNO hari ini meluluskan usul agar jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak dipertandingkan.
Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin berkata, undian yang dijalankan berdasarkan kiraan tangan dan perwakilan yang berdiri dianggap sebagai majoriti besar, sekali gus meluluskan usul berkenaan.
Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, turut mengesahkan perkara itu di mana usul berkenaan disokong hampir kesemua perwakilan yang terlibat.
Difahamkan, usul tambahan itu dikemukakan oleh MOhd Shukei Samsudin dari Rembau ketika berucap bagi membahaskan ucapan dasar presiden pagi tadi yang mendapat reaksi berbeza perwakilan yang hadir.
Ada segelintir perwakilan yang kurang senang dengan usul itu, manakala sebahagian besar perwakilan yang lain pula bangun menyokong usul tersebut.
Terdahulu, Khairy mendakwa ada cubaan membawa masuk pengundi hantu bagi meluluskan usul tambahan itu bagi tidak membenarkan dua jawatan tertinggi dalam parti dipertandingkan.
"Petang ini akan ada undi untuk usul tambahan ini dan saya difahamkan ia akan 'dibulldoze'. Malah, ada beberapa tag di kerusi di Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan bahagian telah dicabut dan ditanggal supaya perwakilan import boleh dibawa masuk untuk sorak (sokongan) dan 'bulldoze' usul supaya ia (jawatan presiden dan timbalan presiden) tidak dipertandingkan," katanya.
@khairykj Adakah usul NO CONTEST akan diluluskan? #umnomalaysia #fypmalaysia🇲🇾 ♬ original sound - Khairykj
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menafikan dakwaan Khairy yang berniat jahat untuk memburukkan parti.
"Saya sendiri mengamati dakwaan Khairy bahawa dewan perhimpunan agung hari ini dipenuhi dengan perwakilan-perwakilan import adalah tidak benar sama sekali. Kita ketua-ketua bahagian mengenali perwakilan-perwakilan yang ada.
"Jadi, saya minta Lembaga Disiplin UMNO untuk mengambil tindakan terhadap Khairy yang sembrono mengeluarkan kenyataan berniat jahat ini.
"Saya berharap Khairy boleh digantung daripada ahli UMNO kerana keenyataannya sangatlah memalukan UMNO," katanya.
Sumber: Sinar Harian, MalaysiaKini, Kosmo Online