Walaupun sebelum ini Syamsul Yusof menyatakan hasrat untuk berdamai dengan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana tetap nekad mahu mengakhiri rumah tangganya yang telah dibina selama lapan tahun.
Bagi Puteri Sarah, perbuatan Syamsul telah menyebabkan mahligai perkahwinannya hampir menemui titik noktah.
Dalam perkembangan terkini, Puteri Sarah mengesahkan dia akan memfailkan perceraian pada Isnin depan di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.
"Ya betul, seperti dinyatakan saya enggan melengah masa dan mahu memfailkan perceraian segera. Saya akan ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Isnin ini," katanya.
Menurut Puteri Sarah, keputusan untuk bercerai dibuat selepas berbincang dengan keluarga dan keluarga mertuanya dan kedua-dua pihak berkenaan menghormati keputusannya.
"Lebih cepat, lebih bagus agar saya tidak lagi terbeban dengan konflik rumah tangga. Saya mahu cari ketenangan dan mulakan hidup baharu," katanya.
Puteri Sarah turut bersyukur keluarganya dan keluarga mertua memahami keadaannya selama empat tahun ini dan tidak menghalang keputusannya.
"Sudah masa segala-galanya ditamatkan segera. Saya tekad, enggan menoleh ke belakang lagi," katanya.
Sumber: Harian Metro