Sejak semalam, tular di media sosial gambar bahagian hadapan (kaki lima) sebuah premis dipasang dengan pagar sekali gus menghalang laluan orang awam, mengundang pelbagai reaksi netizen.
Berdasarkan perkongsian netizen di ruangan komen, premis berkenaan beralamat di Bukit Dahlia, Pasir Gudang, Johor. Sedangkan undang-undang menetapkan mana-mana pemilik premis tidak boleh memasang sebarang binaan di laluan tersebut tanpa mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Ada minta kebenaran dari PBT tak ni? Kedai makan letak meja makan pun kena ada permit kaki lima. Berniaga di kaki lima pun ada permit. Ini siap buat binaan. Orang viral sebab memang satu kesalahan di bawah akta jalan parit dan bangunan 1974," kata netizen.
Menyedari gambar premisnya menjadi bahan kecaman netizen, seorang wanita yang dipercayai pemiliknya tampil meluahkan rasa kesalnya.
"Siapa admin page? Jangan ingat kau boleh saja-saja share apa-apa je eh. Yang kau saje share dengan sengaja tu gambar kedai aku!
"Suka-suka viralkan kedai orang tanpa usul periksa yer? Lapar perhatian ke? Lapar view ke? Ke sejenis lapar viral?
"Saje nak mengundang kecaman orang? Saje nak menaikkan follower page ke? Ke buat page untuk kumpulkan orang untuk kecam?" katanya.
Tindakan pemilik premis itu turut menimbulkan tanda tanya bagaimana sekiranya ada Orang Kurang Upaya (OKU) berkerusi roda mahu menggunakan laluan tersebut. Bagaimanapun, pemiliknya membalas pertanyaan itu dengan kata-kata berikut:
"Lalu la jalan lain. Bukan tak ada jalan lain lagi kat sini. Petak parking khas orang cacat pun ada. Kalau kau datang sini, ramai je nak tolong dokong kau. Datang je sini, jangan nak sibuk komen sekali dengan orang yang tak tahu apa-apa.
"Daripada bagi nasihat dan menyibuk dengan hal orang yang sendiri pun tak tahu, baik duduk diam je," katanya.
Sementara itu, netizen yang lain tetap tidak bersetuju dengan tindakannya memasang pagar berkenaan dan mempersoalkan apakah benar PBT memberi kebenaran untuk memasang pagar tersebut yang jelas bertentangan dengan peraturan.
"Boleh kena saman dengan PBT kerana menutup laluan pejalan kaki. Nak letak rak roti pun sebenarnya tak boleh," kata Lela.
"Benda ni kalau tengok page owner dia, memang lama dia dah buat. Melampau juga PBT tutup mata," kata Rachel Minda.
"Tak kisah apa alasan sekali pn. Lesen dan permi hanya dalam kedai itu sahaja. Untuk kaki lima, nak meniaga, nak pacak apa-apa, kena ada permit lain. Tapi pacak banner barang niaga dan barang-barang yang boleh dialihkan sahaja. Sebab kaki lima adalah tempat pejalan kaki orang awam. Ini kalau dilaporkan, memang kena tindakan," kata Mokcik Jarum.
Sumber: Facebook Arif