Pengarah popular tanah air, Syamsul Yusof, 39, minggu lalu membuat pengakuan telah berkahwin dengan Ira Kazar atau nama sebenar, Faghira Fatini, berwalikan bapanya iaitu Kazar di Selatan Thailand.
Pengakuan Syamsul itu mengundang kritikan hebat dari netizen yang selama ini menyebelahi isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana. Lebih teruk lagi, ibu Syamsul sendiri, Datin Patimah Ismail, tidak merestui perkahwinan Syamsul dengan Ira dan enggan menerima Kazar sebagai besannya.
Dalam temubual eksklusif bersama Harian Metro, Syamsul sedar ramai yang membantainya di media sosial sehinga membuatkan dia terkesan dan dalam masa sama mahu menangani masalah yang timbul secara berperingkat.
BERILAH APA ALASAN TETAP DIANGGAP KLISE - SYAMSUL
Ditanya mengapa dia membuat keputusan untuk berkahwin lagi, Syamsul menjelaskan apa jua alasan yang diberikan akan dianggap sebagai klise. Apa yang penting, dia sudah sah bernikah mengikut agama.
"Saya tidak mahu sekadar menjawab bahawa ia adalah jodoh kerana saya tahu itu jawapan klise. Malah jika saya katakan saya mampu beristeri dua juga akan jadi klise. Jika saya katakan saya jatuh cinta dengan Ira juga barang kali tidak akan memadai. Kalau saya katakan ini takdir, pasti ada yang tidak puas hati.
"Apa saja yang saya katakan pasti akan menimbulkan lebih banyak kata-kata dan fitnah. Saya berserah, tetapi yang penting saya bersyukur kerana sudah sah bernikah dan itulah yang seelok-eloknya," katanya.
BUKAN MUDAH NAK 'PUJUK' ISTERI PERTAMA
Jelas Syamsul, ada sebabnya mengapa dia memilih untuk bernikah dengan isteri kedua di Selatan Thailand kerana proses untuk menyakinkan isteri pertama bukanlah semudah yang disangkakan oleh semua.
Meskipun sedar akan ada yang terluka dengan keputusan itu, Syamsul yakin di penghujung waktunya kelak mereka akan menerimanya.
"Buat masa ini, tak mengapalah saya dihentam, dikritik dan dibenci. Tetapi biarlah saya yang tanggung semua ini. Saya harap sangat janganlah isteri-isteri saya yang jadi sasaran untuk dicerca atau menjadi bahan tohmahan. Biar saya sendiri yang terima semuanya.
"Saya juga ada dua anak menerusi perkahwinan pertama iaiatu Syaikhul Islam dan Sumayyah. Saya pinta 'bantailah' saya sebanyak mana pun, tetapi saya sentiasa akan berusaha mempertahankan anak-anak saya juga," katanya.
BERI MASA UNTUK PERBAIKI HUBUNGAN DENGAN PUTERI SARAH
Menggulas mengenai reaksi ibu bapanya mengenai perkahwinan keduanya, Syamsul menegaskan dia tidak pernah berniat untuk membelakangi mereka. Walaupun perkahwinan itu tidak direstui, Syamsul akan mencuba memujuk ibu bapanya biarpun ia mengambil masa yang lama.
Dalam masa yang sama, Syamsul akan berusaha memperbaiki hubungannya dengan Puteri Sarah dan meminta masa untuk diberi peluang mendamaikan semuanya satu persatu.
Berhubung reaksi negatif netizen, Syamsul sedar dan meminta orang ramai tidak menyasarkan mana-mana ahli keluarganya termasuklah isteri keduanya, Ira Kazar.
"Saya pinta satu saja, segala marah itu tujukan kepada saya saja. Kalau nak salahkan, salahkan saya. Kalau nak dibenci, bencilah saya. Janganlah dikatakan apa-apa yang tidak manis terhadap isteri-isteri saya, Puteri Sarah dan Ira Kazar.
"Jangan dikatakan apa-apa yang tidak manis terhadap mama dan ayah saya. Janganlah kaitkan anak-anak saya dalam perkara ini. Mereka sudah semakin dewasa dan mereka juga tahu membaca. Luluh hati saya kalau mereka membaca apa yang saya baca mengenai diri saya ketika ini," katanya.
SAMAN RM10 JUTA TERHADAP JAWI TETAP DITERUSKAN
Sebelum ini Syamsul pernah mengeluarkan kenyataan mahu memfailkan saman terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebanyak RM10 juta dan pihaknya kini dalam proses untuk berbuat demikian.
"Saya akan teruskan saman saya terhadap Jawi. Peguam saya juga sudah menghantar surat saman kepada Jawi dan semuanya sedang dalam proses.
"Saman saya itu memang sesuatu yang serius dan saya tekankan hingga sekarang. Ini kerana Jawi ternyata tidak profesional. Mereka melakukan soal siasat terhadap Ira kira-kira dua bulan lalu iaitu ketika kami belum bernikah.
"Saya tidak dedahkan apa-apa yang ada dalam kertas siasatan itu kerana ia menyalahi undang-undang. Namun, Jawi sendiri mendedahkan kertas siasatan itu sehingga dibaca oleh ibu saya.
"Jawi sudah melanggar undang-undang dan ia tak sepatutnya berlaku hingga menyebabkan keluarga saya berantakan ketika itu," katanya.
MAHU FOKUS PADA FILEM THE ORIGINAL GANGSTER
Bercakap tentang berbulan madu, buat masa ini Syamsul belum lagi berfikir untuk berbuat demikian. Sebaliknya Syamsul mahu memberikan fokus untuk menyiapkan filem The Original Gangster.
Syamsul menyifatkan filem The Original Gangster itu lebih besar dari filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dan setakat ini ada lebih dari 100 orang kru yang terbabit dalam penggambaran filem tersebut.
TETAP TUNGGU IBU BERI RESTU, AKAN BINCANG DENGAN PUTERI SARAH SECARA TERTUTUP
Di akhir temubual eksklusif itu, Syamsul mengakui restu ibunya adalah penting dalam hidupnya dan dia sanggup menunggu untuk mendapatkan restu ibunya sampai bila-bila.
"Kepada isteri pertama, Puteri Sarah, saya tahu awak terluka tetapi percayalah saya sebagai suami akan cuba yang terbaik. We can work this out. Kita akan berbincang sesama kita nanti secara tertutup, bukan menerusi hantaran-hanaran di media sosial.
"Saya tahu ini bukan perkara mudah dan bukan perkara kecil, tetapi saya mahu mencuba. Berilah peluang untuk saya mencuba," katanya.
Sumber: Harian Metro