Seorang wanita warga emas dari Lawas meninggal dunia apabila ambulans yang sepatutnya menghantarnya ke Hospital Miri tidak dapat melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh, Miri awal pagi Selasa lalu.
Wanita yang menghidap sakit jantung itu dikatakan mengalami masalah pernafasan pada malam kejadian. Anak saudaranya, Billy John, segera menghubungi Hospital Lawas dan meminta ambulans. Billy mendakwa ketika ambulans tiba di kompleks berkenaan pada jam 1:30 pagi, tiada sesiapa yang kelihatan di pintu pagar itu.
“Pemandu ambulans membunyikan hon tetapi pengawal keselamatan berkata, individu yang memegang kunci tiada pada masa kejadian, justeru pintu pagar tidak dapat dibuka.
“Sepanjang perjalanan dari Lawas, paramedik melakukan CPR (Resusitasi Kardiopulmonari) ke atasnya beberapa kali dan dia kelihatan baik-baik sahaja, tetapi di ICQS (Sungai Tujuh, Miri) kami terpaksa menunggu pengawal keselamatan untuk mendapatkan pembawa kunci berkenaan yang tidak muncul-muncul.
“Pada masa itu mak cik menghembuskan nafas terakhirnya. Namun, saya merasakan kita masih perlu pergi ke Hospital (Miri).
“Oleh itu, kami terpaksa membuka pintu pagar untuk meneruskan perjalanan kami,” katanya sambil menambah bahawa mereka mendapat bantuan daripada beberapa anggota RELA untuk memecahkan pintu pagar tersebut.
Mereka tiba di Hospital Miri sekitar jam 3 pagi. Billy berkata beliau akan membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kejadian terbabit, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba' Kelalan Baru Bian berkata ini sememangnya satu kejadian yang amat menyayat hati.
“Pegawai atau orang yang membawa pulang kunci itu benar-benar tidak bertanggungjawab kerana beliau sepatutnya tahu kes kecemasan seperti ini boleh berlaku pada bila-bila masa.
“SOP (prosedur operasi standard) yang jelas mesti ada untuk memastikan perkara ini tidak berulang.
“Insiden ini menguatkan keperluan untuk Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) dipercepatkan supaya sekiranya berlaku kecemasan, kita tidak tertakluk kepada budi bicara pihak ketiga,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man berkata beliau sedang berusaha untuk mengesahkan kejadian terbabit dengan pihak hospital dan Jabatan Imigresen Malaysia.
“Kami akan berjumpa dengan pegawai imigresen kerana saya percaya urusan sempadan terletak di bawah bidang kuasa jabatan itu.
“Saya akan memberitahu anda semula jika terdapat sebarang maklumat terkini mengenai kejadian ini,” jelasnya.
Di media sosial, netizen menggesa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil serius isu sebegini untuk memberikan perkhidmatan dan kemudahan yang terbaik buat kakitangan hospital dan juga pesakit terutamanya di kawasan pendalaman.
“Maybe this is a sign for KKM & the new minister Dr Zaliha Mustafa untuk serius upgrade kemudahan hospital dan kakitangan di seluruh Malaysia.
“Kawasan limbang lawas atleast letaklah doktor pakar di bahagian itu supaya mereka tidak perlu travel selama 3 jam untuk mendapatkan doktor pakar.
“Walaupun dalam map, Hospital Queen Elizabeth KK nampak lebih dekat, tapi perjalanan ke Hospital Miri lebih pantas sebab keadaan jalan yang baik (Brunei). Malangnya pintu sempadan pulak terkunci,” kata Khairul Aqmal.
Sumber: Utusan Borneo Online, Khairul Aqmal