Polis mengesahkan, pemandu treler yang tular dalam video di Facebook baru-baru ini telah ditahan dan kejadian itu merupakan kejadian yang berlaku pada 29 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, kemalangan itu berlaku di KM69, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, pada jam 11 pagi yang membabitkan sebuah treler membawa muatan siling, bersama tiga lagi kenderaan lain.
Dalam kejadian itu, isteri kepada pengadu (Ding Sheng Koh) yang berusia 31 tahun mengalami kecederaan parah, manakala beberapa lagi mangsa lain cedera ringan.
Siasatan mendapati, kemalangan berpunca dari treler membawa muatan siling semasa melalui kawasan selekoh, terjatuh dan menimpa tiga kenderaan termasuk Subaru Forester yang dinaiki pasangan terbabit.
"Pemandu (Ding) berusia 29 tahun tidak cedera, manakala isterinya parah dan dirujuk ke Hospital Tanah Merah, Kelantan.
"Pemandu treler, lelaki berusia 47 tahun ditahan ketika melalui sekatan jalan raya di Jeli, untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kertas siasatan juga sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut," katanya.
Ding baru-baru ini memuat naik luahan kesalnya terhadap sikap pemandu lori dan syarikat logistik berkenaan yang didakwa telah mengabaikan aspek keselamatan sehingga berlakunya kecuaian yang telah meragut hasrat mereka untuk menimang cahaya mata, selain isterinya turut mengalami kecederaan parah.
Menurut Ding, dia tidak akan memaafkan dua pihak terbabit dan mahu mereka dikenakan tindakan undang-undang.
Sumber: Harian Metro