Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, menyifatkan dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya Perikatan Nasional (PN) menggunakan duit judi untuk berkempen di PRU15, sebagai fitnah.
Takiyuddin juga meminta Anwar mengemukakan bukti sekiranya dakwaan itu benar atau berdepan dengan tindakan undang-undang kerana memfitnah.
Bagaimanapun, Anwar menasihatkan Takiyuddin tidak terlalu gopoh mengeluarkan kenyataan penafian mengenai perkara itu kerana beliau sedang meneliti dokumen yang berkaitan.
"Saya nak nasihatkan Takiyuddin jangan gopoh. Saya sekarang di Kementerian Kewangan dan ada dokumen bersama saya," katanya.
Sementara itu berhubung isu pemberian kontrak RM600 bilion tanpa tender, Anwar juga memberi peringatan kepada Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin bahawa tiada keperluan untuk mencabarnya.
"Saya nak beri peringatan kepada Muhyiddin, jangan cabar kerana memang ternyata ada beberapa proses dan prosedur yang tidak dipatuhi dan beberapa syarikat berkepentingan atau terkait dengan keluarga juga terlibat.
"Bukan maksud saya, tapi saya nak tumpu perhatian untuk mengurus negara ini memacu pertumbuhan ekonomi dan memberikan kebajikan kepada rakyat.
"Sebaiknya sabar dan kita terpaksa melihat dan kalau boleh hentikan seperti mana RM7 bilion itu, dan mereka boleh war-warkan tidak bersih," katanya.
Sumber: Malaysia Gazette