Foto Hiasan |
Seorang lelaki warga New York berusia 27 tahun diserang dan dirompak selepas membuat pembelian iPhone 13 secara besar-besaran di Apple Store di Fitth Avenue.
Dalam kejadian pada awal pagi Isnin lalu, mangsa dilaporkan membeli 300 iPhone 13 dari premis tersebut yang disimpan dalam tiga beg.
Dalam perjalanan ke keretanya, datang sebuah kenderaan dan keluar dua lelaki yang tidak dikenali meminta mangsa menyerahkan beg tersebut.
Mangsa enggan berbuat demikian dan cuba mempertahankan diri. Malangnya, mangsa ditumbuk di muka sebelum suspek berjaya melarikan salah sebuah beg yang mengandungi 125 iPhone bernilai RM425,391.
Lapor MacRumors, mangsa membuat pembelian secara besar-besaran itu untuk dijual semula melalui perniagaan kecilnya.
Difahamkan, mangsa membuat pembelian 300 iPhone 13 itu pada jam 1 pagi dari kedai Apple yang dibuka 24 jam bagi mengelak daripada menjadi sasaran penjenayah di siang hari. Malangnya, strategi itu tidak berjaya.
Jabatan Polis New York (NYPD) mengesahkan pihaknya mengambil maklum mengenai kejadian itu dan sedang melakukan siasatan.