Kekerapan seorang wanita berusia 35 tahun mengunjungi seorang bomoh berusia 65 tahun menimbulkan rasa curiga orang awam yang kemudian membuat aduan kepada Pejabat Agama Daerah Kuala Muda (PADKM) pada Khamis lalu.
Keesokan harinya, sepasukan anggota penguat kuasa PADKM membuat serbuan ke rumah bomoh terbabit pada jam 2 pagi di Bedong, yang membawa kepada penangkapan wanita itu yang didapati bersembunyi di tingkat atas.
Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Mohd Noor Ismardi Ismail berkata, ketika pemeriksaan awal dilakukan, 'bomoh' berkenaan yang hanya berseluar pendek mengaku hanya dia seorang sahaja di rumah, malah mempelawa anggota penguat kuasa masuk ke dalam rumah untuk membuat pemeriksaan.
Bagaimanapun, pemeriksaan di tingkat atas rumah kemudian menemui wanita itu dalam keadaan berkemban.
Siasatan mendapati, wanita berstatus isteri orang itu pernah datang beberapa kali dan bermalam di rumah lelaki itu. Manakala, 'bomoh' temberang itu pula mendakwa dia hanya tinggal seorang diri berjauhan dari isterinya yang lumpuh dan dijaga oleh anak mereka di luar daerah ini.
Wanita berusia 35 tahun itu mengakui, dia selalu datang bertemu dengan 'bomoh' terbabit untuk mendapatkan bantuan bagi memudahkan proses perceraian dengan suaminya.
Ekoran itu, mereka ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014. Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Sumber: Harian Metro