Dalam perkembangan terkini kes seorang ejen produk kosmetik yang dilarikan sekumpulan lelaki yang tidak dikenali dalam kejadian di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, petang semalam, ibu mangsa, Zahasnah Mohd Zain, 75, mengakui mereka sekeluarga masih trauma dengan apa yang berlaku. Malah, suara anak perempuannya meminta tolong ketika diheret juga masih tergiang-ngiang di fikiran.
"Luluh hati makcik melihat anak diheret di depan mata, hanya Allah sahaja yang tahu betapa sedihnya hati ini mengenangkan nasib anak yang sehingga kini tidak diketahui.
"Makcik tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya kerana sehingga kini kami sekeluarga tidak menerima sebarang panggilan sama ada mahu meminta wang tebusan ke apa.
"Makcik sekarang terlalu sedih mengenangkan nasib anak yang sehingga sekarang masih belum mendapat sebarang khabar berita. Hanya mampu berdoa supaya Rosnazirah ditemui selamat," katanya.
Menurut Zahasnah, ketika kejadian dia baru sahaja selesai menunaikan solat Asar sebelum didatangi sekumpulan suspek yang bertanya mengenai anaknya. Rosnazirah kemudian dipanggil bapanya ke pintu utama sebelum diheret tanpa sempat memakai selipar atau tudung.
Bapa mangsa sempat bergelut dengan suspek walaupun mengetahui mereka bersenjata. Tetapi dia terpaksa mengalah apabila salah seorang suspek mengeluarkan senjata api dengan kata-kata ugutan.
Ramai yang menyaksikan kejadian itu termasuk anak mangsa menangis-nangis meminta pertolongan. Malangnya tiada sesiapa yang berani tampil membantu kerana takut dengan suspek bersenjatakan pistol.
Tambah Zahasnah, sebelum kejadian itu dia ternampak salah seorang suspek menunggang motosikal kerap melalui kawasan rumah yang dipercayai sedang memantau mereka sekeluarga.
Ketika kejadian, seramai lima lelaki termasuk suspek bermotosikal bersama empat lagi suspek menaiki kereta jenis Toyota Vios berada di perkarangan rumah mangsa.
Sementara itu, adik mangsa, Mohd Syarafi, 26, berkata, kakaknya bekerja sebagai ejen produk kosmetik sejak tiga tahun lalu dan mereka sekeluarga tidak pernah mengetahui sama ada kakaknya berhutang atau mempunyai musuh dengan sesiapa.
Mohd Syarafi berharap kakaknya dibebaskan dan ditemui dalam keadaan selamat.
Sumber: Harian Metro