Loading...
TR

'Mangsa mungkin dilarikan ke sempadan Thailand-Myanmar' - Polis Thailand



Pihak berkuasa Thailand memaklumkan, operasi mengesan ejen kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim, 36, yang diculik sekumpulan lelaki dan dibawa ke negara itu, sedang giat dikesan. 


Menurut sumber, dalam operasi besar-besaran yang dilakukan, pihak polis telah memeriksa banyak premis termasuk resort di Narathiwat yang dikenal pasti dijadikan tempat persembunyian. 


"Sejak hari pertama kehilangan mangsa lagi, kami menjalankan operasi mengesan selama 24 jam. Namun setakat ini pencarian masih belum berhasil. 


"Serbuan sudah dibuat di semua premis yang berpotensi dijadikan tempat persembunyian termasuk chalet dan resort di sekitar Narathiwat," katanya. 


Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan mangsa telah dibawa ke tempat yang lebih jauh iaitu Bangkok atau sempadan Thailand-Myanmar. 


Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melanjutkan tempoh reman terhadap suami mangsa untuk siasatan lanjut. 


Setakat ini, tiada sebarang tangkapan baru dan semua suspek yang ditahan sedang disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961. 


Media sebelum ini melaporkan, mangsa diculik sekumpulan lelaki yang dipercayai berpunca dari perselisihan ahli sindiket penyeludupan dadah. Siasatan awal polis mendapati, suami mangsa terbabit dalam aktiviti penyeludupan dadah. 


Menurut satu sumber, perbuatan menculik ahli keluarga juga merupakan taktik sindiket dadah antarabangsa terhadap mana-mana ahli yang didapati mengkhianati mereka. 


"Sindiket dadah antarabangsa ini mempunyai rangkaiannya dan turut mempunyai 'kaki' di setiap negara termasuk di Malaysia yang bekerjasama dalam menyeludup dan mengedar dadah. 


"Jika ada ahli sindiket yang tersilap langkah dan cuba menipu serta melarikan wang hasil penjualan dadah, jika tidak bernasib baik akan berdepan hukuman yang kejam termasuk dibunuh. 


"Apabila ahlinya menimbulkan masalah atau menjadi tali barut kepada pihak berkuasa, taktik kejam itu akan digunakan. Jika bernasih baik akan terselamat dan jika tidak, akan menjadi korban mereka. 


"Malah jika yang sudah berkeluarga, keselamatan isteri dan anak-anak juga terancam. Ini dibuktikan dengan kejadian terbaru membabitkan ejen kosmetik diculik baru-baru ini. 


"Itu amaran sindiket terbabit jika ada ahlinya membuat masalah atau berhutang dengan mereka yang ada mencecah ratusan ribu, malah jutaan ringgit," katanya. 


Sumber: Harian Metro

About Cite Malaya

Powered by Blogger.