Loading...
TR

‘Kami sudah muak!’ - Guru dakwa ditindas, tetapi pengetua nafi & beri masa 48 jam untuk mohon maaf

Foto tular di media sosial


Beberapa hari lalu tular di media sosial gambar kain rentang yang menggesa pengetua dan guru kanan sebuah sekolah di Kuala Pilah, ditukarkan ke sekolah lain didakwa gemar menggugut dan menindas warga pendidik di sekolah tersebut. 


"Kami guru SMK Senaling mohon pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Pilah, memindahkan segera pengetua (mental, tiada hati perut) dan guru kanan dari SMK Senaling dengan kadar segera untuk mengelakkan lebih ramai guru tertekan dan sakit akibat tindakan mereka yang menindas guru-guru. 


"Kemenjadian dan kecemerlangan murid terhalang dengan sikap pentadbiran yang berlandaskan emosi tanpa rasional. Kami sudah muak dengan perangai pentadbir suka mengugut guru-guru!" kata kenyataan pada kain rentang berkenaan. 


Sedar dengan gambar tular itu, pengetua sekolah berkenaan tampil menafikan segala tuduhan itu yang disifatkan berniat jahat dan mahu menjatuhkan reputasi dirinya dan pihak sekolah. 


Menurut beliau, dia menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai pengetua di sekolah itu dengan sepenuh hati setelah sekolah tersebut tidak mempunyai pengetua selama 8 bulan. 


"Saya telah membuat penstrukturan semula yang mana saya percaya telah mengundang kepada serangan ke atas diri saya dan Guru Penolong Kanan Pentadbiran. 


"Saya terbuka untuk berbincang sebelum ini tetapi tidak akan berkompromi kepada individu yang culas dan sambil lewa dalam bekerja termasuk tidak menunjukkan prestasi baik sepanjang perkhidmatan. 


"Saya berpegang kepada piagam pendidikan dan ikrar saya sebagai seorang pengetua dan guru," tegasnya. 


Susulan kejadian itu, Normah telah membuat laporan polis dan melantik peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu menyebarkan fitnah berkenaan yang telah mencalarkan maruah dan imej sekolah. 


Justeru, Normah memberi tempoh selama dua hari kepada mana-mana pihak yang terlibat melakukan serangan dan fitnah itu untuk tampil memohon maaf. 




Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani mengesahkan menerima laporan tersebut dan baginya, isu yang timbul hanyalah isu dalaman sekolah sahaja. 


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling, Dato' Haji Adnan Haji Abu Hassan juga mengambil maklum mengenai perkara itu dan memaklumkan pihak PPD Kuala Pilah sedang melakukan siasatan. 


Beliau berharap, isu tersebut dapat diselesaikan dalam keadaan baik dan majoriti guru di sekolah berkenaan tidak bersetuju dengan kenyataan yang ditulis pada kain rentang itu. 


Sumber: Sinar Harian, Harian Metro

About Cite Malaya

Powered by Blogger.