Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail, membidas ahli perniagaan gila perhatian demi keuntungan diri, Aliff Syukri Kamarzaman, yang menggelar dirinya sebagai penyanyi nombor satu negara hanya kerana berdasarkan trending di laman YouTube.
Mokhzani berkata, trending bukanlah penentu kualiti sesebuah lagu dan juga mengakui bahawa nyanyian lelaki itu adalah sumbang dan tiada sesiapa yang akan membeli sekiranya ahli perniagaan itu mengeluarkan CD.
"Sebenarnya pendengar suka mendengar, termasuk saya nak dengar apa yang tak kena. Memang tak kena kerana selalunya juri cari benda yang salah dalam nyanyian. Tetapi yang ini, nak cari part yang betul pun tak jumpa.
"Kalau dia masuk radio dan keluar di kaca TV lainlah. Kalau dia keluar fizikal CD pun belum tentu ada yang beli.
"Lain kali panggil orang yang ada 'telinga' jaga vokal. Bukan kita tak mahu tolong, kira okeylah keseluruhannya nak juga dia menyanyi tapi itulah, kena ambil tindakan sebab nak keluar radio tak semudah itu.
"Kita pun bukan tak nak berkompromi soal ini. Lagu ini simple dan muzik pun okey. Sesuai dengan konsep, cuma masalahnya pada nyanyian.
"Baby Shima tiada masalah, tetapi nyanyian Aliff nak lagi kena berlatih. Okeylah setakat keluar YouTube ada 813,000 tontonan kiranya banyak. Cukuplah setakat itu," katany memetik laporan dari Harian Metro, Sabtu, 20 Ogos 2022.
Jelas Mokhzani lagi, suara Aliff boleh diperbetulkan tetapi Aliff mungkin telah dikelentong oleh penerbit lagu tersebut sedangkan nyanyian Aliff boleh diperbetulkan lagi.
Selain itu, Mokhzani mengatakan suara Aliff tidak sepadan dengan Baby Shima. Padahal penerbit lagu boleh saja menggunakan teknologi untuk memperbetulkan suara Aliff.
Bagi Mokhzani, Aliff mempunyai hak untuk merakam lagu dan semua orang bebas berbuat demikian, tetapi tidak wajar mendabik dada dengan mengatakan dirinya sebagai penyanyi nombor satu negara hanya kerana lagu itu trending di YouTube.
"Bagi saya, untuk keluar di YouTube bolehlah. Saya dah kaji dan dapati dia boleh menyanyi tetapi sedap itu benda lain. Masalahnya saya rasa di pihak penerbitan album.
"Kalau ikut konsep lagu pun dia menyanyi sikit saja, bukan sepenuhnya. Tiada satu 'line' yang panjang. Boleh diperbetulkan masa dalam studio," katanya.