Foto The Star |
Kerajaan bercadang untuk membina sebuah litar khusus bagi perlumbaan drag di setiap negeri dalam usaha memperkasakan program pembangunan sukan permotoran dalam negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata cadangan itu akan dimasukkan dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentang Oktober ini.
"Setakat ini sudah ada dua litar drag yang dibina iaitu di Terengganu dan Melaka," katanya ketika merasmikan Program RXZ Members 4.0 Tahun 2022 di Terengganu International Drag Strip di Gong Badak di Kuala Nerus, hari ini.
Ismail Sabri berkata apabila litar itu siap, ia akan memberi peluang kepada golongan belia untuk membabitkan diri dengan lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul.
Dia juga menyeru golongan muda supaya menyertai MyFit@Motorsports 2022 iaitu program pembangunan permotoran peringkat akar umbi, melibatkan pembangunan sukan motosikal dan kereta yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan.
Ismail Sabri berkata di bawah program itu, peserta berpeluang mendapat pendidikan melalui latihan, kursus dan klinik, sekali gus dapat mencungkil bakat atlet permotoran negara bagi menyertai kejohanan serta perlumbaan di peringkat negeri dan nasional.
Katanya kerajaan akan sentiasa menyokong aktiviti kelab-kelab permotoran, terutama dalam menjayakan program amal bagi membantu rakyat yang ditimpa kesusahan seperti dilanda banjir, bagi mengurangkan aktiviti tidak sihat di jalanan.
"Pertubuhan berkaitan permotoran banyak melakukan aktiviti amal... Ketika banjir banyak kelab motor terlibat dengan kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir.
"Mungkin boleh anjurkan (perhimpunan penunggang) setiap tahun dan kerajaan boleh beri penajaan… dapat ketengahkan minat anak-anak muda, dapat kurangkan tanggapan negatif terhadap penunggang yang dikaitkan dengan pelbagai nama seperti 'mat motor'," katanya.
Perdana menteri turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terbabit dalam penganjuran program yang menerima lebih 30,000 kunjungan peminat sukan permotoran di seluruh negara itu.
Pada perhimpunan itu penganjur turut menawarkan hadiah utama cabutan bertuah iaitu sebuah motosikal Yamaha R1 1000cc bernilai RM135,000 serta dua buah Yamaha RXZ bernilai RM60,000.
Sumber: Bernama