Seorang lelaki didakwa membunuh anak lelaki kepada teman wanitanya dengan menghentak kepala mangsa ke lantai van, telah dihukum penjara seumur hidup dengan 15 sebatan.
Hakim di Mahkamah Tinggi Singapura mendengar bagaimana tertuduh, Mohamed Aliff Mohamed Yusoff, 29, telah melakukan perbuatan kejam itu selepas dia bertengkar dengan ibu mangsa.
Dalam perbicaraan 11 Ogos lalu, Mohamed Aliff mendakwa, mangsa terjatuh dari pelukannya pada November 2019. Tetapi pada perbicaraan awal, mahkamah dimaklumkan tertuduh telah memecahkan kepala mangsa berusia sembilan bulan itu dengan menghentak kepala mangsa ke lantai van sekurang-kurangnya dua kali.
Kejadian itu berlaku di tempat letak kereta di Yishun, ketika mangsa, Izz Fayyaz Zayani Ahmad, berada di bawah jagaannya.
Tertuduh dikatakan menyerang mangsa hanya beberapa jam selepas dia bertengkar dengan teman wanitanya, Nadiah Abdul Jalil.
Bedah siasat yang dijalankan mendapati, mangsa meninggal dunia akibat trauma, kesan dari pukulan objek tumpul.
Pihak pendakwaan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan 15 hingga 18 sebatan. Peguam yang mewakili tertuduh pula tidak menentang hukuman penjara itu, sebaliknya hanya menuntut pengurangan jumlah sebatan kepada lima hingga enam sebatan.
Hakim Mavis Chionh bersetuju bahawa hukuman mati adalah tidak wajar tetapi menyatakan bahawa tingkah laku tertuduh selepas melakukan pembunuh itu langsung tidak menunjukkan rasa atau reaksi menyesal dengan perbuatannya.
Mahkamah juga telah mendengar bagaimana defendan mengambil masa selama 36 minit untuk membawa mangsa ke hospital. Sebelum itu, tertuduh cuba mempengaruhi ibu mangsa untuk menceritakan versi palsu tentang kejadian yang berlaku kepada pakar perubatan.
Nadiah turut memaklumkan kepada mahkamah tentang bagaimana Mohamed Aliff mencadangkan mereka mengupah seseorang untuk mengebumikan mayat anak mereka secara senyap dan hanya membuat laporan kehilangan mangsa selepas setahun kemudian.
Sumber: The Mirror