Seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan dilarikan seorang remaja dari jagaan neneknya yang ketika itu sedang menunaikan solat.
Lapor Kosmo, mangsa dilaporkan hilang pada jam 5.30 petang dan gambar mangsa disebarkan oleh ibu bapanya di media sosial bagi mendapatkan bantuan orang ramai untuk mencari anaknya.
Bagaimanapun, empat jam kemudian mangsa dikatakan telah ditemui dan suspek telah ditahan polis di Bukit Mertajam lewat malam kelmarin.
Ibu mangsa, Farisha Amirah Zainal, 24, berkata kepada Malaysia Gazette, dia bersyukur anaknya, Noor Raisya Mohamad Rahimi, berjaya diselamat pihak polis.
"Memang macam nak luruh jantung bila saya dengar jiran saya (pengasuh) maklumkan perkara itu. Saya terus menelefon keluarga termasuk yang berada di kampung sebelum suami pergi membuat laporan polis.
"Sampai jam 9 malam, saya dan suami masih berurusan dengan polis sebelum saya kuatkan hati pulang ke rumah untuk solat. Selepas solat, tiba-tiba naluri hati saya kuat mengatakan anak kami akan kembali ke pangkuan.
"Susulan itu saya siapkan kelengkapannya termasuk menyediakan susu serta pakaian dalam satu beg sebelum turun dan tunggu kehadirannya di pos pengawal pangsapuri kami," katanya.
Pasangan itu kemudian menerima panggilan dari polis yang memaklumkan suspek telah berjaya dikesan tetapi bayi mereka tiada bersama dengan suspek.
Selepas 10 minit kemudian, mereka mendapat panggilan yang memaklumkan Raisya berjaya ditemui dalam keadaan selamat dan telah dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk pemeriksaan.
"Memang bagaikan mimpi dan lembik lutut saya sebaik dapat memegang dan peluk anak di hospital. Selalu dengar cerita sahaja anak diculik, tetapi tak sangka kami sendiri melalui kejadian ngeri itu.
"Anak saya itu mungkin dijual kepada sindiket sekiranya pihak polis lambat mengesan suspek, memandangkan bayi kami ditemui dalam sebuah van yang dipercayai dalam perjalanan ke sempadan negara jiran, melalui negeri di pantai timur," katanya.
Sementara itu, lima individu termasuk suspek remaja perempuan bawah umur itu direman selepas polis mendapat perintah dari Mahkamah Bukit Mertajam, semalam.
Suspek terdiri daripada dua wanita dan tiga lelaki berusia lingkungan 14 hingga 43 tahun itu direman selama empat hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.
Sumber: Kosmo, Malaysia Gazette