Seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan polis kerana menyimbah asid pada isteri, anak dan ibu mertuanya.
Sebelum ditahan, suspek, Rezy Saputra atau Kenji, cuba melawan dan menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan tembakan di bahagian kaki kanannya dalam kejadian Isnin lalu, 11 Julai 2022.
Semasa disoal siasat, suspek mengaku telah menyimbah isterinya, Siti Sri Hardianti, 25, Reslia Saputri, 2, dan ibu mertua, Siti Hartini, 57, dengan asid kerana sakit hati di mana dengan isterinya kerap meminta cerai.
Kekecewaan Kenji bertambah teruk apabila isterinya dikatakan sempat keluar bersama lelaki lain sehingga larut malam.
"Saya dimaklumkan oleh jiran yang memberitahu isteri saya pulang lewat ke rumah, kira-kira jam 12 malam, bersama lelaki lain," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Metro Bekasi, Gidion Arif Setyawan berkata, suspek kesal dengan kata-kata isterinya semasa pasangan itu bertengkar di mana wanita itu berkata, "Lebih baik melakukan hubungan seks dengan lelaki lain berbanding kau!".
Berang dengan kata-kata itu, suspek keluar dan kembali membawa asid lalu disimbah pada isteri, anak dan ibu mertuanya yang sedang tidur.
Difahamkan hubungan pasangan itu telah lama ditimpa masalah dan Siti kerap meminta Kenji menceraikan kerana tidak tahan dengan masalah kewangan yang sering melanda.
Sikap acuh tak acuh Kenji dalam mencari pekerjaan juga menyebabkan isterinya bertambah geram kerana sudah lama tidak diberi nafkah.
Ekoran dari kejadian itu, ketiga-tiga mangsa mengalami luka melecur di beberapa bahagian badan.
Kenji kini disiasat mengikut Akta Perlindungan Kanak-Kanak, Akta Keganasan Dalam Rumah Tangga, Penganiayaan dan berdepan dengan hukuman 12 tahun penjara.
Keadaan kesemua mangsa dilaporkan stabil dan mula menunjukkan respon untuk pulih. Siti Sri Hardianti dan Reslia Saputri masih menerima rawatan intensif di hospital. Manakala Siti Hartini kian beransur pulih dan telah dibenarkan pulang ke rumah.
Sumber: Tribun News