Loading...
TR

'Kami kenal hati budi anak kami macam mana' - Ibu mangsa kemalangan, kesal netizen kecam anak mereka macam-macam



Tidak dinafikan, kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu awal pagi semalam yang meragut empat nyawa penunggang motosikal, mengundang banyak reaksi netizen yang rata-rata menyalahkan para penunggang terbabit menyertai aktiviti lumba haram. 


Kecaman, selaran dan tohmahan yang dilemparkan langsung tidak bertapis sehingga mengguris perasaan waris atau keluarga mangsa kemalangan. 


"Kami kenal hati budi anak kami macam mana. Orang kecam macam-macam depa (mereka) tanpa memikirkan perasaan kami yang baru hilang anak,": demikian kata Shahiril Rohaiza Ramli, 46, ibu kepada salah seorang mangsa yang maut dalam kemalangan itu, Muhamad Eizreel Muhammad, 25. 


Menurut Shahiril, anak sulungnya itu bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel motosikal dan sudah mendirikan rumah tangga, memiliki dua cahaya mata berusia lapan dan empat tahun dan isterinya kini sedang hamil anak yang ketiga. 


Shahiril mengakui arwah anaknya dari dua beradik itu sememangnya minat dengan motosikal dan berkebolehan membina sebuah motosikal. 


"Dia anak yang baik, bertanggungjawab dan mengambil berat tentang keluarga. Saya ada menasihatkan dia jangan bawa motosikal laju. Saya juga mengenali kawan-kawannya. Mereka anak yang baik dan hormat orang tua," katanya. 


Petang sebelum kejadian, anaknya ada singgah di rumah dan berbual dengan adiknya. Tetapi Shahiril pada ketika itu tiada di rumah kerana sedang bekerja di klinik. Kali terakhir mereka bersembang ketika Aidiladha yang lalu. 


Seorang lagi ibu mangsa kemalangan, Mashitah Md Isa, 44, langsung tidak menjangka berdepan dengan kehilangan seorang lagi anaknya, Mohd Shazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22, selepas anak ketiganya, Shazril Haikal, 20, yang juga meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Kedah pada bulan Mac lalu. 


Menurut Mashitah, anak sulung daripada empat beradik itu juga mempunyai saudara kembar iaitu Mohd Shazwan Hafiz yang juga terbabit dalam kemalangan sama dan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) di mana keadaannya kini dilaporkan stabil. 


"Anak kembar kedua saya naik motosikal berasingan dengan abangnya. Kami sekeluarga baru bercuti bersama-sama di Cameron Highlands Selasa lalu dan arwah beli buah tangan untuk semua anak buahnya termasuk bantal peluk Upin Ipin kerana mereka pun adik beradik kembar. 


"Arwah anak saya rapat dengan keluarga. Kalau dia berjalan ke mana-mana, mesti ada sahaja barang yang akan dibawa balik untuk semua orang. Dia juga sudah bertunang kira-kira lima bulan lalu," katanya. 


Abang kepada salah seorang lagi mangsa yang maut, Ahmad Najwan Ikhwan Ahmad Nazrul, 20, berkata, adiknya, Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19, baru sahaja berpesan kepada rakan-rakannya yang dia mahu disemadikan di Balik Pulau berdekatan dengan kubur arwah datuk mereka sekiranya dia meninggal dunia. 


Dia pada awalnya mendapat panggilan pada jam 6 pagi yang memaklumkan adiknya telah meninggal dunia. 


"Saya teringat baru-baru ini dia ada cerita yang dia bermimpi berjumpa dengan kawan-kawannya yang sudah meninggal dunia. Dia juga ada pesan kalau dia meninggal dunia, dia mahu dikebumikan di Balik Pulau sebab dekat dengan kubur arwah datuk. Kalau ada yang ingin melawat kubur datuk, senang ziarah dia sekali," katanya. 


Sumber: Harian Metro

About Cite Malaya

Powered by Blogger.