Tiket konsert Dewa 19 yang bakal diadakan pada September ini di Axiata Arena dilaporkan telah habis dijual kurang dari tempoh sejam selepas dibuka pada Selasa lalu.
Kepantasan para peminat mendapatkan tiket berharga dari RM148 hingga RM488 itu dijadikan sebagai indikator bahawa rakyat di negara ini sanggup mengeluarkan wang yang banyak untuk mendapatkan hiburan walaupun dalam masa yang sama merungut kerajaan tidak membantu rakyat dalam menghadapi krisis kenaikan harga barang.
Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, dia sangat hairan dengan senario tersebut di mana rakyat sanggup mengenepikan survival sebuah kehidupan hanya untuk mendapatkan hiburan.
Walaupun mendapatkan hiburan itu merupakan hak masing-masing, tetapi sambutan terhadap penjualan tiket konsert tersebut menunjukkan ada dalam kalangan masyarakat di negara ini yang masih tidak tahu apa itu keutamaan hidup.
"Dalam keadaan gawat ini, sewajarnya kita sebagai rakyat perlu berhemah dalam perbelanjaan, mengatur keutamaan untuk keperluan asas diri, sekali gus kita dapat mendidik diri sentiasa bersederhana ketika keadaan memerlukan.
"Apabila kita bersederhana, kita bersyukur dengan keadaan yang berlaku. Kita tidak menjadi generasi melenting, protes tetapi tenang ketika berdepan dengan apa pun situasi.
"Kalau tidak ada keutamaan dalam hidup, maka inilah yang berlaku. Tidak salah kalau masih mahu hiburan jika anda ada limpahan wang, hidup senang. Tetapi jika kita bukan dari kelompok ini (senang) tetapi sanggup mengeluarkan wang untuk berkonsert, jangan lagi merungut tentang kenaikan harga barang. Usah bising kerana tidak ada duit dan jangan tunding jari ke mana-mana pihak," katanya memetik laporan dari Malaysia Gazette.
Bagaimanapun di media sosial, netizen membidas pandangan Kok Seong yang dianggap tidak wajar mengeluarkan pandangan sedemikian hanya berdasarkan penjualan tiket konsert.
"Elok pencen je prof, dah ada simptom-simptom nyanyuk dah tu. Cakap merepek-repek. Saya tak berlajar tinggi ini pun boleh faham rungutan orang yang susah. Takkan bila nampak tiket konsert habis, terus buat perbandingan?" kata Nur Afiza.
"Ingatkan menteri-menteri je kurang bijak, rupanya taraf pemikiran prof pun macam ni. Sedih.. sedih. Macam manalah nak mengharapkan orang bijak pandai menaikkan ekonomi negara, sibuk nak mengajar kita kurang makan telur la, guna minyak masak peket la bagai. Patutnya korang-korang yang diberi tanggungjawab inilah yang berfikir macam mana nak meningkatkan hasil negara, matawang tak terus jatuh.
"Gaji banyak-banyak tapi untuk kerabat dia je. Fikir macam mana nak penuhkan poket masing-masing je. Takde pun sebenarnya istilah nak menolong rakyat, lagi nak menyembelih rakyat ada la," kata Erlina Suleman.
"Semua golongan ke pergi ke konsert tu prof? Krisis harga barang naik semua golongan terasa beban. Tiket konsert ini bukan satu Malaysia beli tiket pun, agak-agaklah nak putar belitkan fakta. Cuba cari kaedah untuk rakyat bertahan untuk hidup memandangkan anda seorang prof. Saya yakin anda orang yang terpelajar, berhenti beri kenyataan yang boleh menyebabkan orang hilang rasa hormat terhadap orang terpelajar seperti anda," kata Kamal Musa.
Sumber: Malaysia Gazette