Akibat tidak mahu mendengar teguran untuk berhenti bernyanyi, Herlina konstan Larangka, 39, mati ditikam oleh rakannya, La Ode Subhan, 33, dalam kejadian di Kendari, Indonesia, Sabtu, 28 Mei 2022.
Ketua Polis Daerah Kendari, Fitrayadi berkata, kejadian itu berlaku pada jam 11 malam di mana suspek bersama dua rakannya, Batlyon dan Wa Ode Suryaha sedang duduk bersembang di depan rumah sewanya, kira-kira dari jam 11 hingga 4 pagi.
Ketika itu, mangsa, Herlina, menghubungi salah seorang rakan suspek untuk 'lepak' bersama dengannya, tetapi ditolak. Pada masa sama, suspek merampas telefon bimbit itu lalu mengajak Herlina datang 'lepak' bersama mereka.
Herlina setuju dan datang ke rumah suspek. Herlina secara tiba-tiba membuka telefon untuk bernyanyi diiringi dengan muzik daripada aplikasi YouTube.
Suspek menegur Herlina berhenti menyanyi kerana sudah hampir waktu Subuh. Tetapi teguran itu tidak diendahkan membuatkan suspek memberi amaran yang dia akan menikamnya jika tidak berhenti serta-merta.
Herlina tidak takut dengan gertakan itu dan mencabar suspek untuk menikamnya jika dia berani berbuat demikian.
Suspek kemudian berlari masuk ke dapur dan kembali dengan membawa pisau dapur lalu menikam mangsa di bahagian pinggang kiri sebelum melarikan diri menggunakan motosikal.
Mangsa yang mengalami kecederaan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan bantuan. Malangnya, mangsa meninggal dunia sebelum sampai ke hospital.
Polis datang ke lokasi untuk melakukan siasatan dan melancarkan gerakan memburu suspek. Beberapa jam kemudian, polis berjaya menahan suspek yang bersembunyi dalam sebuah rumah.
Akibat dari perbuatan itu, suspek kini berdepan dengan hukuman penjara selama tujuh tahun kerana menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kematian.
Sumber: Kompas