Video viral di media sosial |
Aplikasi TikTok merupakan satu aplikasi yang semakin trending sehingga kini dan aplikasi ini digunapakai dengan lebih meluas dalam kalangan remaja dan kanak-kanak. Aplikasi ini juga menjadi tarikan kerana ada latar belakang muzik dan juga pelbagai jenis tarian yang trending.
Terbaharu, ‘Married Me Challenge’ menjadi ikutan. Babak seseorang menyarungkan cincin membuatkan si penerima tersipu-sipu malu dan mula menggoyangkan badan.
Trending ini masih boleh dimaafkan apabila menjadi ikutan artis, masyarakat atau orang yang lebih dewasa. Tetapi, menjadi kecaman netizen apabila trending ini ditonjolkan oleh kanak-kanak di sebuah tadika milik kerajaan.
Netizen menyatakan perkara seperti ini tidak sepatutnya ditonjolkan dalam kalangan kanak-kanak. Kanak-kanak seolah dipergunakan untuk menarik lebih tontonan seterusnya dapat menjana pendapatan melalui tayangan video tersebut.
Seorang pempengaruh terkemuka, Akhi Fairuz Al-Jengkawi, meluahkan rasa terkejut dengan konten sedemikian. Katanya, kanak-kanak tidak perlu dijadikan sebagai konten untuk mengejar budaya viral terkini.
Pendidikan kanak-kanak juga katanya diajar tentang sentuhan selamat dan tidak selamat, tetapi beliau mempersoalkan mengapa video tersebut diajar bersentuhan begitu. Baginya perbuatan seperti ini tidak beretika dan melampau.
"Bila saya tengok je terus rasa, Ya Allah apa benda ni?! Cikgunya tak ada kerja lain ke? Demi secebis konten, sanggup gunakan budak-budak untuk ikut trend video TikTok?
"Ada ke disuruh budak lelaki sarungkan cincin pada jari budak perempuan. Elok disarung, terus budak tu joget-joget sambil tutup muka. Kau ingat benda ni kelakar ke? Nampak sweet bila budak kecil yang buat? Musibah betul!
"Elok-elok budak diajar pasal sentuhan selamat dan sentuhan tak selamat, kau pula ajar mereka bersentuh-sentuhan begini! Nak normalisasikan budaya couple pada budak-budak sekecil ini ke? Nak bagi mereka seronok kejar benda viral? Generasi apa yang kau nak bangunkan ini?
"Bagi saya, perbuatan seperti ini tidak beretika dan melampau. Kalau tidak dibendung, tak tahulah video jenis apa lagi boleh muncul," katanya.
Namun, ada pihak yang mendakwa dua orang pelajar tadika itu membuat ‘Married Me Challenge’ tersebut dengan sukarela dan meminta ibunya merakam aksi tersebut. Dikatakan juga pelajar lelaki dan perempuan itu mempunyai pertalian persaudaraan (sepupu).
Sumber: Asfan Ash, Akhi Fairuz Al-Jengkawi