Saksi pendakwaan kelapan kes remaja Sindrom Down, Bella, iaitu Suhana Zam, 40, mendakwa mangsa penderaan itu disuap secara paksa sepinggan nasi goreng bersama jumlah cili yang banyak oleh Siti Bainun Ahd Razali.
Suhana berkata demikian ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
Tindak Bainun itu katanya, turut disaksikan oleh beberapa penghuni lain di Rumah Bonda.
"Saya nampak Siti Bainun meletak sepinggan nasi goreng dan cili potong yang pada saya nisbah cili itu banyak berbanding nasi.
"Dia (Bainun) gaul dan nampak dia pegang dagu Bella untuk suapkan Bella. Bella mengelak tetapi terpaksa makan sebab dipaksa. Dalam hati saya, kenapa jadi macam ini?
"Saya terkejut tapi tidak cakap apa-apa sebab tidak mahu bertegur dengan Siti Bainun pada waktu itu kerana bimbang dan tidak pasti reaksinya," katanya.
Suhana turut memaklumkan, dia ternampak keadaan Bella yang tidak terurus dengan kesan lebam di muka ketika datang ke Rumah Bonda pada 13 Jun 2021, selepas diajak Siti Bainun untuk makan 'King Crab'.
"Saya nampak bahagian kanan muka Bella ada lebam sebesar tapak tangan dari atas kening hingga bawah mata. Muka Bella ketakutan sangat dan ini adalah keadaan Bella paling teruk, rambut 'tobek' dan berbaju lengan panjang.
"Saya agak emosional ketika itu dan bertnaya mengapa keadaan Bella sangat Teruk. Siti Bainun memaklumkan Bella bergaduh (dengan penghuni lain) dan hanya letak ubat sendiri tanpa dibawa ke klinik.
"Dalam hati saya dah marah, saya tidak tanya lebih lanjut sebab tidak mahu bergaduh. Saya nampak Bella beberapa kali dan dalam hati saya kata, ini tidak betul. Saya rasa marah dengan keadaan Bella," katanya.
Sumber: Harian Metro