Foto Harian Metro |
Seorang pengasuh Taska didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menganiaya seorang bayi perempuan berusia 11 bulan, minggu lalu.
Tertuduh, Nabilah Md Johan, 27, berasal dari Kampung Tedong Merlimau mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan, Nabilah didapati menganiaya mangsa berusia 11 bulan dengan mencakar pipi sebelah kiri dan memukul badan mangsa menggunakan tangannya semasa bertugas di Taska Ummi Ana, No 43, Jalan Sri Emas 25, Taman Seri Telok Emas pada 18 Mei 2022, jam 5.30 petang.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa.
Bagaimanapun, peguam bela, Ab Kadir Ismail membantah jumlah jaminan yang ditawarkan itu kerana terlalu tinggi dan memohon mahkamah menegenakan jumlah jaminan yang munasabah untuk anak guamnya.
"Jumlah jaminan yang ditawarkan terlalu tinggi, mohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang munasabah. Penjamin adalah ibu tertuduh sendiri," katanya.
Hakim Nariman kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan dalam apa jua cara sehingga perbicaraan selesai.
Tarikh sebutan kes ditetapkan pada 23 Jun depan bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa dan serahan dokumen.
Sumber: Harian Metro