Seorang bapa berusia 52 tahun mahu mengambil tindakan terhadap sekumpulan pelajar yang menyerang (buli) anaknya di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya, baru-baru ini, termasuk guru yang gagal mengambil tindakan.
Menurut lelaki itu, anak lelakinya berusia 16 tahun diserang sekumpulan pelajar terbabit pada jam 9.40 pagi, 11 Mei di padang sekolah. Mangsa terdahulu dimaklumkan ada pelajar yang mahu bertemu dengannya di lokasi dan apabila datang ke lokasi, dia dikelilingi 10 pelajar lain.
Mangsa dimaki dan ditengking serta ditolak salah seorang suspek sebelum ditumbuk di bahagian muka. Mangsa cuba mempertahankan diri tetapi terjatuh.
"Anak saya memaklumkan, sekumpulan pelajar itu menendang kepalanya seperti bola sepak dan perkara itu amat menyayat hati saya. Dia juga memberitahu, mereka memijak kepala dan badan selain terus menendangnya semasa dia jatuh.
"Ada pelajar yang mahu membantu anak saya, namun gagal menghalang mereka. Anak saya berjaya melepaskan diri dan pergi ke pejabat pengetua untuk membuat aduan.
"Apabila saya bertemu dengan pengetua, dia memaklumkan bahawa masalah ini boleh diselesaikan dan ia menyebabkan saya terkedu. Bagaimana perkara sebesar ini boleh diselesaikan begitu saja tanpa ada tindakan diambil?
"Kejadian itu menyebabkan anak saya mengalami kecederaan di bahagian kepala, tangan, badan dan kaki kiri serta dia masih belum sembuh sepenuhnya," katanya.
Ekoran kejadian itu, dua laporan polis telah dibuat dan dia mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap sekumpulan pelajar terbabit.
Difahamkan, itu bukan kali pertama anaknya menjadi mangsa buli. Pada tahun 2019, anaknya dibuli dan apabila lelaki itu pergi ke sekolah, dia dimaklumkan oleh guru yang mangsa dengan pembuli telah berbaik.
Bagaimanapun dalam tahun yang sama, salah seorang daripada pembuli terbabit mengugutnya menggunakan pisau. Namun mangsa tidak memaklumkan kejadian itu kepada bapanya sehingga April 2020. Terkejut mendengar insiden tersebut, bapa mangsa terus memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah agar pembuli terbabit dikenakan tindakan.
Malangnya, pada Julai 2020, pihak sekolah memaklumkan pelajar terbabit tidak lagi datang ke sekolah. Alasan yang diberikan itu mengundang rasa kecewa bapa mangsa.
"Anak saya seorang yang pendiam dan sukar untuk menceritakan masalah dihadapinya selain takut dengan ugutan pelajar yang membuli serta mengarahkannya tidak membuka mulut.
"Pihak sekolah tidak mengambil tindakan sewajarnya ke atas kejadian buli yang berlaku sehingga kejadian itu kerap berulang. Kejadian buli ini bukan saja berlaku kepada anak saya, malah beberapa pelajar lain dan pelajar yang suka membuli ini didalangi kira-kira 10 orang yang diketuai beberapa pelajar senior.
"Kumpulan ini dipercayai merekrut pelajar junior untuk menyertai mereka, sebab itu kejadian ini berlarutan hingga anak saya yang kini berada di Tingkatan Empat masih dibuli oleh kumpulan sama," ujarnya.
Bapa mangsa akan memfailkan saman terhadap sekumpulan pembuli terbabit, termasuk pengetua sekolah dan guru disiplin kerana cuai dan tidak menjalankan tugas mengikut prosedur Kementerian Pendidikan. Dia juga sedang meneliti beberapa langkah yang akan diambil dan tidak lagi berhasrat menghantar anaknya ke sekolah itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakrudin Abdul Hamid, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. Pihaknya telah mengambil keterangan dari mangsa dan beberapa saksi termasuk guru. Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Sumber: Harian Metro, Berita Harian