Foto Hiasan |
Padah berbelanja sakan menggunakan kad ATM yang ditemuinya, seorang wanita berusia 33 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, semalam.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, suspek ditahan selepas didapati membelanjakan RM1,365 dari akaun mangsa di beberapa pasar raya dan stesen minyak.
Terdahulu, pemilik kad ATM membuat laporan polis berhubung kehilangan kad ATM CIMB miliknya yang dikatakan tercicir di daerah itu. Mangsa kemudian membuat semakan pada akaunnya melalui aplikasi CIMB Clicks mendapati, wang simpanannya berkurangan dan mengesan berlaku beberapa transaksi pembayaran secara 'pay wave'.
Bertindak di atas laporan, sepasukan pegawai dan anggota BSJK mengesan dan berjaya menahan suspek yang kemudian mengaku membelanjakan wang mangsa untuk membeli barang keperluan diri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.
Nor Rafidah juga menggesa orang ramai yang mengalami kehilangan kad ATM segera membuat laporan kepada pihak bank bagi memastikan kad tersebut tidak disalahgunakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Sumber: Harian Metro