Susulan ramai yang menyatakan bantahan terhadap penguatkuasaan pelitup muka bukan perubatan perlu mendapatkan perakuan dan penandaan logo SIRIM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menangguhkan penguatkuasaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 yang diwartawakan pada 5 April lalu.
Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penangguhan tersebut dilakukan selepas mengambil kira reaksi masyarakat dan pelbagai pihak.
Bagaimanapun dia menjelaskan bahawa, pewartaan itu sebenarnhya bertujuan memastikan pelitup muka bukan perubatan dan peranti rokok elektronik sama ada dihasilkan dalam negara atau import mematuhi standard dan berkualiti untuk keselamatan pengguna.
Di bawah perintah itu, pengilang dan pengimport dua produk tersebut diwajibkan membuat perakuan dan memperoleh penadaan MS Sirim daripada Sirim Qas International Sdn Bhd yang dilantik KPDNHEP.
Tambahnya, pewartaan itu adalah inisiatif kerajaan atas semangat Keluarga Malaysia bagi menjaga kesejahteraan rakyat dan melindungi kepentingan pengguna.
KPDNHEP juga berharap, lambakan pelitup muka bukan perubatan dan peranti rokok elektronik yang tidak berkualiti di pasaran dapat diatasi dengan pematuhan standard tersebut. Alexander yakin, penguatkuasaan tersebut tidak akan menyebabkan harga dua produk berkenaan meningkat.
Sumber: Harian Metro