Foto Utusan Malaysia |
Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan 30 sebatan terhadap seorang lelaki berusia 21 tahun atas kesalahan merogol adiknya.
Tertuduh mengaku bersalah di hadapan Hakim Nooriah Osman selepas tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Sebelum itu, Hakim Nooriah berkata, tertuduh selaku anak sulung sepatutnya menjadi pelindung dan contoh kepada adik-adiknya. Tetapi perkara sebaliknya yang berlaku dan hukuman setimpal perlu dikenakan sebagai pengajaran.
"Kesalahan ini serius dan saya perlu menjatuhkan hukuman mengikut undang-undang supaya ia menjadi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh tetapi masyarakat di luar sana," katanya.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol adiknya berusia 14 tahun di sebuah rumah pada jam 11 malam Disember 2020.
Tidak serik dengan perbuatan terkutuknya itu, tertuduh mengulangi kesalahan yang sama pada Disember 2020 dan Januari 2021.
Untuk kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun, dan sebatan tidak kurang 10 sebatan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan selepas tertuduh mengaku bersalah.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula daripada tarikh sabitan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sumber: Harian Metro