Rahsia seorang remaja perempuan berusia 16 tahun terbongkar selepas ibunya curiga melihat perut anaknya itu semakin membesar.
Setelah didesak, mangsa mengakui kandungannya berusia empat bulan selepas dirogol oleh sepupunya sendiri ketika berada di rumah mereka, dalam kejadian tahun lalu.
Siasatan awal mendapati, mangsa dirogol oleh suspek yang masuk melalui pintu hadapan rumah yang tidak berkunci pada September 2021 ketika sedang tidur di dalam bilik.
Suspek berusia 25 tahun itu juga memberi amaran kepada mangsa untuk tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa.
Bagaimanapun, suspek jarang datang ke rumah mangsa selepas remaja terbabit mendakwa dia tidak datang haid. Biarpun mengesyaki dirinya hamil, mangsa enggan menceritakan kejadian itu kepada sesiapa kerana takut, malah langsung tidak menghubungi suspek.
Susulan dari kejadian itu ibu mangsa terus membuat laporan polis dan bertindak di atas laporan, suspek telah ditahan untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Sazalee Adam mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.
Sumber: Harian Metro