Foto hiasan |
Hasrat seorang pelajar kolej untuk mendapatkan khidmat seks tidak kesampaian, malah dia mengalami kerugian RM10,000 akibat ditipu sindiket penipuan yang menawarkan perkhidmatan seks di Twitter.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Deputi Superintendan Azmi Aziz berkata, mangsa berusia 18 tahun dikatakan berminat dengan tawaran itu lalu menghubungi sindiket tersebut melalui aplikasi Telegram.
Mangsa kemudian dimaklumkan mengenai pakej perkhidmatan itu berharga RM300 bagi tempoh dua jam dan bayaran perlu dibuat melalui tambah nilai Razer Gold.
Setelah membuat pembayaran, mangsa diminta menunggu di hadapan sebuah kedai serbaneka di Batu Berendam pada jam 1 tengah hari. Ketika menunggu, mangsa dihubungi seorang individu yang meminta dia membuat bayaran deposit tambahan bagi memastikan pelacur yang dihantar kepadanya tidak akan dicederakan.
Mangsa akur dan membuat pemindahan wang sebanyak lima kali yang membabitkan jumlah keseluruhan RM10,000 ke akaun bank sindiket tersebut.
Bagaimanapun, dia langsung tidak dihubungi oleh mana-mana wanita seperti yang dijanjikan sebelum tersedar dirinya telah ditipu lalu membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Baru. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sumber: Berita Harian