Loading...
TR

Lelaki ternampak susuk tubuh budak terbaring tak bernyawa, rupanya anak sendiri terjatuh dari tingkat 4


Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah flat di Puncak Alam, Selangor hari ini.


Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa'aton Abu Bakar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melibatkan anak sulung daripada tiga beradik itu kira-kira 9 pagi.


Beliau berkata berdasarkan keterangan, bapa mangsa yang berusia 30-an memaklumkan telah melihat cahaya lampu dari bilik anak lelakinya kira-kira 2 pagi tadi ketika bangun ke tandas.


"Bapa mangsa bagaimanapun tidak membuat pemeriksaan lanjut kerana menyangka anaknya sedang tidur.


"Pada 8 pagi, ketika bapa mangsa pergi ke tingkat bawah bangunan flat berkenaan untuk membeli makanan, dia melihat terdapat susuk tubuh terbaring di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.


Shafa'aton berkata siasatan awal terhadap bapa mangsa mendapati kanak-kanak itu tidak menunjukkan sebarang perubahan selain tiada masalah dalam keluarga.


Beliau berkata pasukan perubatan mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Jabatan Unit Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.


Katanya setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Sumber: Bernama

About Cite Malaya

Powered by Blogger.