Foto Jabatan Imigresen Malaysia |
Jabatan Imigresen malam tadi membuat serbuan di Taman Puchong Prima susulan mendapat banyak aduan dari penduduk setempat mengenai kehadiran sekumpulan warga asing dalam keadaan mabuk dan membuat bising di sebuah restoran berhampiran.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, penduduk membuat aduan berhubung kehadiran warga Afrika itu sejak dua bulan lalu.
Seramai 58 individu yang membabitkan 20 individu tempatan dan 20 warga asing telah diperiksa dalam operasi yang dilakukan pada jam 8.15 malam Khamis.
Hasil dari pemeriksaan, 38 warga asing termasuk 25 warga Afrika telah ditahan. 24 daripadanya merupakan warga Nigeria termasuk enam kanak-kanak dan seorang wanita warga Guinea.
Selain itu, 10 wanita warga Thailand dan tiga wanita warga Indonesia berusia 20 hingga 40 tahun turut ditahan. Semakan mendapati, kesemua warga asing berkenaan tidak mempunyai pasport.
Penduduk sebelum ini membuat aduan, sekumpulan warga Afrika selalu melepak di restoran berkenaan sehingga mabuk dan membuat bising serta memandu secara melulu yang menimbulkan kebimbangan penduduk di kawasan itu.
Bimbang keadaan menjadi semakin teruk, penduduk membuat aduan kepada Jabatan Imigresen. Kesemua warga asing berkenaan telah ditahan dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Sumber: Harian Metro