Susulan tular video kes kecurian iPhone 13 Pro Max milik seorang ibu hamil di sebuah premis di pusat beli-belah Melawati Mall, suspek telah memulangkan telefon bimbit tersebut selepas dipujuk oleh pemiliknya.
Menurut pemilik kedai bakeri, Fazrin Ghazali berkata, suspek telah memulangkan telefon itu kepada ibu hamil berkenaan sekitar jam 3 hingga 5 pagi semalam.
Difahamkan, mangsa terdahulu memujuk dan menawarkan wang sebanyak RM5,000 kepada suspek agar dia memulangkan telefon bimbit itu. Suspek bersetuju dengan tawaran tersebut dan mahu berjumpa di sebuah stesen minyak yang tidak dinyatakan lokasi.
Tanpa pengetahuan suspek, mangsa telah menghubungi polis untuk turut serta dalam pertemuan itu. Hasilnya, suspek berjaya ditahan dan dibawa ke balai.
"Owner (mangsa) umpan pencuri jika suspek pulangkan telefon itu, dia akan bagi duit sebanyak RM5,000 untuk suspek beli telefon lain. Asalkan suspek pulangkan telefon dia.
"Suspek bersetuju untuk memulangkan telefon itu dan mahu berjumpa di sebuah stesen minyak pada jam 3 pagi. Mangsa juga menghubungi polis untuk membuat tangkapan dan suspek berjaya ditahan lalu dibawa ke balai," katanya.
Menurut mangsa, suspek berusaha membukan telefonnya untuk menghapuskan semua data/dokumen. Mangsa terpaksa memujuk suspek memulangkan telefon itu kerana terdapat banyak dokumen penting termasuk maklumat pemeriksaan kesihatan bayinya.
"Yang sedihnya, owner dah setahun menunggu cahaya mata, banyak dia rekod dalam handphone sebagai simpanan tetapi semuanya dah dihapuskan oleh suspek," ujarnya.
Jelas Fazrin, perempuan dalam video CCTV yang mengambil telefon itu adalah tunang kepada suspek yang telah ditahan polis. Suspek memberikan alasan dia berbuat demikian kerana memerlukan duit untuk melangsungkan perkahwinan pada Ahad ini.
Terdahulu, tampil seorang individu yang mendakwa dirinya ahli keluarga suspek menafikan pertuduhan mencuri dan menegaskan suspek sebenarnya cuba memulangkan telefon itu kepada mangsa tetapi tidak dapat dihubungi.
"For netizen semua, kami satu family iPhone user okay dan memang dah contact akak (mangsa) ni untuk pulangkan. Tapi lewatlah sebab kami satu family jalan-jalan.
"Bila adik (suspek) pulangkan, siap roger polis angkut pergi balai. Settle kat balai. Husband akak ni pun dah minta maaf kat adik sebab bawa ke balai.
"Elok je, yang tak elok sampai sekarang post tak padam. Nak buat content kot? Jaga diri kak, kata mengandung tadi kan? Oh, saya memang dah ada insurans," kata individu tersebut.
Bagaimanapun, mangsa menyangkal kenyataan itu dan menegaskan suspek sememangnya berniat mencuri telefon bimbitnya.
"Dengar boleh, percaya jangan. Tiada sesiapa di balai pada jam 4 pagi selain saya, suami, suspek dan polis. Saya dah famous lama kak, dari umur 20 tahun saya dah berlakon TV. Penat dah nak famous, saya maafkan akak," kata mangsa.
Sumber: Facebook Fazrin Ghazali