Polis menahan seorang pengasuh di pusat penjagaan kanak-kanak kerana dipercayai menarik telinga seorang bayi perempuan berusia 10 bulan sehingga menyebabkan kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, suspek berusia 26 tahun ditahan selepas disyaki mencederakan mangsa.
Siasatan awal mendapati, suspek menarik telinga kiri bayi berkenaan yang menyebabkan kecederaan ringan. Mangsa dibawa ke Hospital Temerloh untuk mendapatkan rawatan susulan.
Pemeriksaan juga mendapati, pusat penjagaan kanak-kanak itu tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Suspek akan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Jika sabit kesalahan, boleh jatuhkan hukuman penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Golongan ibu bapa dinasihatkan sentiasa memeriksa latar belakang pusat jagaan sebelum membuat keputusan menghantar anak ke pusat tersebut dan akhirnya menjadi mangsa pengasuh yang tidak bertauliah.
Sumber: Harian Metro