Seorang gadis menjadi mangsa lelaki gila seks ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah di Taman Connaught, Rabu lalu. Namun dia terselamat kerana jeritannya menakutkan lelaki terbabit.
Lapor Harian Metro, kejadian itu berlaku pada jam 2 petang ketika remaja berusia 17 tahun berkenaan sedang berjalan kaki pulang ke rumahnya di lorong belakang sebuah sekolah berhampiran Jalan Ahliman.
Tiba-tiba mangsa didatangi suspek yang terus memeluknya dari belakang dan menutup mulutnya menggunakan tangan. Suspek terus mencabul mangsa. Takut dengan kejadian itu, mangsa terus menjerit meminta pertolongan.
Jeritan remaja itu membuatkan suspek panik dan terus melarikan diri. Mangsa yang trauma segera pulang ke rumah dan memaklumkan kejadian tersebut kepada keluarganya sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Cheras.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D110, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman. Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hasaan mengesahkan pihaknya menerima laporan dari mangsa dan siasatan sedang dijalankan.
Setakat ini, belum ada sebarang penangkapan dibuat dan mangsa tidak dapat mengecam muka suspek.
Sumber: Harian Metro