Seorang bayi perempuan berusia 15 bulan dilaporkan meninggal dunia akibat lehernya tersangkut di buaian dalam kejadian di Bandar Sri Sendayan, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, mangsa, Nour Rania Asyifaa Yuseri, ditemui tidak sedarkan diri pada jam tiga petang di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan Taman Nusari Aman.
Siasatan awal mendapati, mangsa sebelum itu telah diberi susu oleh pengasuh dan dimasukkan ke bilik bersama dengan dua kanak-kanak lain pada jam 12.30 tengah hari. Mangsa ditidurkan dalam buaian kain, manakala dua kanak-kanak lagi ditidurkan dalam buaian jenis 'rocker'.
Jam 2 petang, pengasuh kemudian keluar dari bilik untuk melakukan tugasan lain sebelum masuk semula pada jam 3 petang dan mendapati mangsa dalam keadaan kepala tersangkut di kain buaian.
Bimbang melihat mangsa tidak bernafas, pengasuh segera memberi bantuan kecemasan tetapi mangsa tidak memberikan sebarang respon.
Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Sendayan untuk pemeriksaan dan doktor yang bertugas mengesahkan mangsa telah meninggal dunia pada jam 4.30 petang.
Siasatan polis di tempat kejadian mendapati, mangsa ditemui di bilik kedua di sebuah rumah teres satu tingkat yang dijadikan sebagai pusat asuhan. Mangsa ditemui dalam keadaan leher dan kepalanya terkeluar dari buaian.
Semasa kejadian itu berlaku, dua pengasuh perempuan berusia 37 dan 28 tahun berada di dalam premis tersebut bersama dengan 14 kanak-kanak dan bayi berusia dari enam bulan hilang tujuh tahun.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk tindakan lanjut. Punca kematian mangsa masih belum diketahui dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sumber: Sinar Harian