Usahawan kosmetik, Dato' Sri Vida atau Hasmiza Othman, 50, tidak menolak sekiranya dia ditakdirkan bercinta dengan usahawan yang juga pelawak popular, Shuib Sepahtu.
Menurut Vida, Shuib memiliki semua ciri-ciri lelaki idaman yang dia cari selama ini dan dia amat tertarik dengan sikap Shuib melayani anak-anaknya dengan penuh kasih sayang.
"Shuib seorang lelaki yang baik dan penyayang. Saya lihat sendiri bagaimana dia melayan anak-anaknya dengan penuh kasih sayang. Sejujurnya saya tiada masalah untuk mengenalinya secara lebih dekat. Lagipun sebelum arwah Siti Sarah meninggal dunia, kami sudah menjadi rakan kongsi untuk produk makanan Unagi.
"Malah, saya pun rapat dengan anak-anaknya. Saya selalu juga bersiaran langsung bersama anak-anak Shuib melalui Instagram ibu mentuanya. Seronok setiap kali berpeluang bersembang dengan mereka," katanya.
Bagi Vida, walaupun ada yang mengatakan dia serasi dengan Shuib, tetapi perhubungan itu perlulah melalui proses pengenalan dan restu tanpa paksaan.
"Orang luar boleh berkata apa saja, tetapi hati manusia tak boleh dipaksa-paksa. Tuan empunya badan yang akan membuat keputusan. Kalau tanya saya sekarang, saya tiada masalah untuk berkawan dengan Shuib," katanya.
Minggu lalu, Shuib dikritik netizen yang menganggap dia terlalu cepat mencari pengganti arwah isterinya, Siti Sarah Raisuddin, baru lima bulan meninggal dunia akibat Covid-19. Namun bagi Shuib, dia sudah lali dan tidak mampu menutup mulut orang. Apa yang penting baginya, hanyalah pandangan dari keluarga terutama dari ibu bapanya.
"Jika mahu mencari jodoh, perlu persetujuan daripada ibu dan anak-anak. Kalau saya yang suka tetapi anak-anak tidak okey, memang tidak akan jadi. Buat masa ini saya serahkan kepada Allah sahaja," katanya.
Sumber: Harian Metro