Tular beberapa gambar tangkap layar perbualan di aplikasi WhatsApp milik seorang murid darjah dua dengan kekasihnya yang juga masih bawah umur, mengundang pelbagai reaksi netizen.
Gambar-gambar yang dimuat naik oleh Suziana Basa tersebut membuka mata golongan ibu bapa untuk memeriksa telefon bimbit anak masing-masing.
"Penangkapan handphone budak darjah dua hari ini, terus membuka mata sendiri untuk check handphone anak sendiri. Seram pula tengok budak darjah dua sekarang.
"Ini antara budak yang sunyi masa PDPR, tapi rancak pula di group WhatsApp Single and Taken. Bah ibu ibu, bapa bapa, jangan lupa periksa handphone anak kita. Wake up call untuk ibu bapa," tulisnya.
Mengulas lanjut, Suziana menjelaskan dia bukan berniat hendak memalukan kanak-kank itu tetapi hatinya hancur apabila membaca semua mesej tersebut.
"Hati saya hancur, terus terbayangkan muka anak sendiri. Sejujurnya saya sangat sedih mengenangkan anak-anak zaman sekarang. Saya tak salahkan sesiapa melainkan kita sendiri sebagai ibu bapa yang kurang peka dan leka tentang hal yang dianggap kecil ini.
"Mungkin tujuan kita memberi gajet untuk anak-anak bagi memudahkan proses PDPR. Tetapi kita lupa atau lalai untuk memantau. Kadang-kadang ada yang sampai ketagih dan tidak boleh hidup tanpa handphone," katanya.
Pemberian gajet kepada anak-anak sememangnya memudahkan tetapi ibu bapa tidak sedar kurangnya masa mereka dengan anak-anak. Akibatnya, anak-anak tidak tahu bahawa apa yang mereka lakukan itu sebenarnya salah.
"Syukur cikgu tahu lebih awal. Mungkin tidak banyak yang dapat dibantu tetapi siapa tahu masih ada kesempatan untuk anak itu berubah. Setiap orang berhak mendapat peluang untuk berubah.
"Berdoalah agar anak-anak kita dilindungi dari perkara sebegini. Doakan juga kita sebagai ibu bapa diberi kebijaksanaan untuk mendidik generasi akan datang.
"Bagi yang belum berkahwin atau belum ada anak, mungkin menganggap perkara ini lucu. Hakikatnya, hal-hal seperti ini adalah ketakutan bagi kami yang bergelar ibu bapa," katanya.
Sumber: Suziana