Loading...
TR

Penjaga parkir didakwa tendang, cubit & pukul anak tunang sehingga lebam, alasan nak mendidik


Seorang penjaga parkir didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menendang, mencubit dan memukul anak tunangnya menggunakan penyangkut baju sehingga mengakibatkan lebam pada badan kanak-kanak lelaki itu, bulan lalu.


VK Jaganathan, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.


Tertuduh didakwa sebagai penjaga kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, memukul menggunakan penyangkut baju, menendang, mencubit, menumbuk dan menampar badan kanak-kanak itu mengakibatkan mangsa mengalami lebam pada badannya di sebuah kondominium di Jalan Berhala, Brickfields di sini pada 12 tengah hari, 28 November lalu.


Pendakwaan terhadap Jaganathan dibuat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin dan pertuduhan dihadapi Jaganathan adalah serius.


"Sekiranya mahkamah ingin menawarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan tertuduh diikat jamin RM15,000 berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan," katanya.


Peguam P Rajendran yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak mempunyai kesalahan lampau.


"Anak guam saya tinggal bersama tunang dan anaknya dan dia menjaga kanak-kanak itu seperti anak sendiri. Niat anak guam saya hanya untuk mendidik anak tunangnya bukan untuk mencederakan," kata peguam itu.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta tidak tinggal bersama mangsa selain melaporkan diri ke balai polis berdekatan sehingga kes selesai.


Mahkamah menetapkan 13 Januari depan untuk sebutan bagi serahan dokumen.


Sumber: Bernama

About Cite Malaya

Powered by Blogger.