Loading...
TR

Abaikan anak sehingga maut terjatuh dari tingkat 16, ibu mangsa didakwa di mahkamah


Seorang ibu didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak lelakinya berusia 5 tahun 7 bulan yang maut akibat terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Selayang pada November 2021. 


Tertuduh berusia 24 tahun itu bagaimanapun membuat pengakuatn tidak bersalah di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya. 


Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengabaikan mangsa sehingga menyebabkan kecederaan fizikal pada tubuh kanak-kanak itu. Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium Jalan Lebuh Raya Selayang-Kepong pada jam 9.40 pagi hingga 10.48 pagi 17 November 2021. 


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali. 


Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah Nor Azahar terdahulu mencadangkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan syarat tambahan yang bersesuaian dengan mahkamah. 


Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin kerana dia hanya seorang suri rumah dan tidak mempunyai sebarang pendapatan. 


"Suami saya hanya bekerja sebagai penghantar makanan, sejak kehilangan arwah anak saya (mangsa), kesihatan saya tidak begitu stabil mohon mahkamah berikan jaminan yang rendah," katanya yang juga mempunyai seorang lagi anak berusia empat tahun. 


Hakim Nor Rajiah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali serta dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan. Sekiranya syarat jaminan itu dilanggar, jaminan dibatalkan. 


Mahkamah menetapkan 13 Januari 2022 untuk sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam. 


Dalam kejadian 17 November lalu, mangsa dipercayai bermain dan memanjat sebuah katil berada di tepi tingkap yang tidak dipasang jeriji sebelum terjatuh dari ketinggian 16 tingkat. Ketika kejadian, ibu mangsa keluar rumah dan mangsa ditinggalkan di bawah jagaan ibu saudaranya. 


Ekoran dari kejadian itu, ibu saudara mangsa berusia 36 tahun yang mempunyai lima rekod jenayah berkaitan dadah ditahan untuk membantu siasatan. 



Sumber: Kosmo


LAPORAN BERKAITAN

About Cite Malaya

Powered by Blogger.