Loading...
TR

4 anggota polis didakwa cuai, punca Long Tiger bolos dari lokap


Abdul Hamim Ab Hamid atau dikenali sebagai Long Tiger terlepas dari tahanan ketika menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Majistret Tangkak pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohd Fadhil Minhat berkata orang kena tahan (OKT) berketurunan Rohingya itu hadir di mahkamah bagi perbicaraan kes berkait Seksyen 388 Kanun Keseksaan sebelum terlepas kira-kira 11.55 pagi tadi.


Katanya ketika kejadian Abdul Hamim, 32, memakai kemeja-T pagoda dan berseluar coklat. Berkepala botak, OKT terbabit memiliki ketinggian lebih kurang 160 sentimeter dengan berat sekitar 65kg.


“OKT ketika dalam tahanan tangannya masih bergari dan sedang menunggu untuk memulakan prosiding sambil menunggu peguamnya untuk hadir ke mahkamah.


"Prosiding yang sepatutnya bermula pada pukul 10 pagi ditangguhkan sementara menunggu kehadiran peguam bela tertuduh.


“Dia disedari melarikan diri dari mahkamah oleh orang ramai dan usaha untuk menangkapnya dilakukan, tetapi OKT berjaya meloloskan diri ke kawasan semak berhampiran,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tangkak, hari ini.


Abdul Hamim sebelum ini ditempatkan di Penjara Sungai Udang, Melaka sebelum dibawa ke lokap polis IPD Tangkak semalam. Dia kemudia dibawa ke lokap mahkamah sebelum berjaya meloloskan diri dari pintu utama mahkamah.


Mohd Fadhil berkata pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang terlihat Abdul Hamim atau mempunyai maklumat berhubung lokasi tertuduh untuk segera menghubungi pihak polis.


Setakat ini, empat anggota polis yang bertanggungjawab mengiringi Long Tiger ke mahkamah juga akan disiasat di bawah Seksyen 233 kerana kecuaian, selain siasatan lanjut akan dilakukan terhadap polis yang bertugas di mahkamah.


“Polis masih menyiasat sama ada kesemua anggota tersebut terlibat dalam kejadian ini atau sebaliknya, serta cara tertuduh meloloskan diri dari sel mahkamah.


“Tertuduh yang masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kini disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana lari dari tahanan,” tambah beliau.


Sumber: Bernama

About Cite Malaya

Powered by Blogger.