Seorang lelaki berusia 31 tahun yang bekerja sebagai mekanik dilaporkan maut akibat dihempap sebuah kereta yang sedang dibaiki di sebuah bengkel dalam kejadian di Kampung Bukit, Bayan Lepas, malam tadi.
Muaz Mat Isa ditemui dalam keadaan tersepit di bawah kereta jenis Proton pada jam 11.45 malam oleh rakannya yang datang mencarinya di bengkel tersebut.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Pegawai Kanan Bomba II Helmirizal Che Morad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.54 malam dan terus bergegas ke lokasi.
Sebaik saja tiba di lokasi selepas 10 minit kemudian, mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di bawah kenderaan itu.
Difahamkan, separuh badan mangsa dihempap kereta yang jatuh semasa dia sedang melakukan kerja-kerja membaiki.
Bomba mengambil masa kurang dari lima minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. Mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan badan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang juga berada di tempat kejadian.
Sumber: Utusan Malaysia