Tarikan media sosial sudah tidak dapat dipertikaikan, apatah lagi dengan kemunculan influencer seperti Youtuber, instafamous dan bermacam-macam lagi. Nama-nama mereka pula dilihat kini sebaris dengan artis-artis terkenal. Tidak dinafikan juga, kemunculan mereka menjadi penghibur dalam kalangan netizen.
Namun begitu, sejauh manakah kemunculan mereka ini memberikan pengaruh positif dalam kalangan masyarakat terutamanya kepada kanak-kanak? Kita sedia maklum, kanak-kanak mudah terpengaruh dengan apa yang ditonton dan apa yang didengarinya. Jika tiada pantauan, timbul kembimbangan kanak-kanak akan terpengaruh dengan apa yang disajikan.
Di YouTube, dilihat budaya prank atau perangkap menjadi isu yang hangat untuk ditayangkan demi meraih jumlah tontonan. Bukan itu sahaja, gaya hidup, percakapan, sebutan dan tingkah laku golongan ini menjadi ikutan anak-anak kecil.
Baru-baru ini juga tular di media sosial, seorang bapa meluahkan kebimbangan dengan trend yang dilakukan oleh YouTuber-YouTuber ini yang rata-ratanya adalah dalam kalangan remaja.
Melalui hantaran di Facebook, lelaki ini mula berasa pelik dengan perubahan ketara sikap anaknya. Apabila beliau memeriksa telefon bimbit anaknya, dia mendapati ada satu group WhatsApp diwujudkan dari pengikut fanatik YouTubers berkenaan. Baginya, kewujudan saluran dan kandungan yang dipertontonkan akan merosakkan akhlak anak-anak dan saluran tersebut juga tidak sesuai ditonton oleh anak-anak bawah 17 tahun.
"Youtubers ni banyak content sampah!! IG dan TikTok mereka ini pun tidak bermanfaat! Viewers mereka dahsyat. Last week, saya periksa handphone anak. Pelik sangat kebelakangan ini dengan perangai anak suka menyendiri, malam tidur lewat. Bila ditegur, dia merajuk dan tantrum lain macam. Rupanya ada group WhatsApp dari fan fanatik YouTubers ni!"
"Selidik punya selidik baru tau. Kewujudan channel, content YouTubers ni bila ditonton memang merosakkan akhlak yang tidak sesuai ditonton anak-anak bawah usia 17 tahun. Content 'prank' yang menjahanamkan. Geram sangat! Pengaruh yang tidak sihat!"
"Followers mereka antaranya adalah kanak-kanak atau remaja bawah 15 tahun. Anak saya berusia 10 tahun, salah seorang yang terpengaruh dengan 'prank' mereka kononnya kalau buat salah, itu adalah prank. Buat lawak bunuh diri dalam group juga prank. Saya tak boleh terima!"
"Saya pun tak tahu macam mana anak boleh 'termakan' dengan content mereka ini. Siap ada group team/fans. Rekrut anak-anak yang tidak tahu baik buruk. Ditegur 1 2 kali tak jalan sebab group itu dikatakan saja-saja. Masing-masing tidak mengenali antara satu sama lain dalam group, boleh pula bersembang macam dah kenal lama secara bersemuka."
"Dalam group bersembang pasal broken la, awek-pakwe single so on. Berwassup dalam group sehingga 2-3 pagi. Bahasa pun mostly biadab. Dah left group tetap add balik. Although dah bagi amaran dalam group, muncul pula group baru. Admin siap PM tepi. Last terpaksa gertak report polis."
"Terpaksa kuarantin anak dari handphone untuk beberapa hari. Nak salahkan dan marahkan anak, mereka tak tahu apa salah mereka sebenarnya pada umur 10 tahun. Slow talk, tegas dan terus pantau."
Perkongsian tersebut juga telah menarik perhatian seorang netizen yang mendakwa berjiran dengan satu YouTubers (individu lain). Menerusi komen, dia menyatakan YouTubers berkenaan bersekedudukan lelaki dan perempuan.
Ujarnya lagi, dia sempat berborak dengan salah seorang daripada mereka dan menyatakan kebanyakan YouTuber menyewa sebuah rumah yang besar untuk dijadikan sebagai pangkalan, studio, lokasi, tempat tinggal untuk mereka.
Secara tuntasnya, tidak salah jika saluran yang digunakan menyajikan kandungan yang memberikan pengaruh positif dalam kalangan anak-anak, namun jika berlaku sebaliknya,secara tidak langsung persepsi masyarakat terhadap semua Youtuber akan berubah.
Sebagai ibu bapa pula, kita perlu sentiasa mengawal segala apa yang ditonton oleh anak-anak terutamanya yang masih di bawah umur. Aplikasi ‘Google Family Link’ antara salah satu aplikasi yang boleh memantau apa yang ditonton oleh anak-anak di media sosial.
Sumber: Facebook